SHAHRUL
SHAHRUL
Firdaus Hashim


TONGGAK pertahanan tengah negara, Shahrul Saad mengakui kesilapannya membaca lantunan bola pada minit ke-75 menyaksikan impian skuad Harimau Malaya memungut sekurang-kurangnya satu mata berkecai apabila tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.

Jelas pemain Perak itu, selepas gol awal Syafiq Ahmad disamakan Ali Ahmed Mabkhout, Malaysia berpeluang mengikat UAE pada aksi kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu selepas meraih kemenangan 3-2 ke atas Indonesia sebelum ini.

“Pada awalnya bola hantaran penjaga gol UAE itu nampak seperti boleh diambil Matthew Davies, tetapi dia terlepas dan saya sedikit teragak-agak apabila bola itu datang kepada saya.

“Biasalah bola sepak ada ketika kita melakukan kesilapan kecil dan UAE berjaya menghukum kami dengan gol itu,” katanya dengan nada kecewa.

Dalam insiden minit ke-75 itu, penjaga gol UAE, Mohamed Saleh Almenhali melakukan hantaran jauh dan Shahrul gagal mengawal bola bagi membolehkan Mabkhout memintas dan menjaringkan gol kedua buat pasukannya.

Mengulas lanjut, kata Shahrul, kekalahan berkenaan sememangnya satu keputusan menyedihkan buat pasukan apatah lagi pasukan bermain cemerlang dalam tempoh 90 minit perlawanan.

“Walaupun tak dapat keputusan seri atau menang di tempat sendiri, kita menunjukkan persembahan yang amat positif. Kita ikut arahan jurulatih, cumanya kita gagal mengambil peluang di hadapan gol seperti yang dilakukan UAE.

“Apa yang lebih penting adalah kita mampu bersaing dengan pasukan hebat seperti UAE. Dua perlawanan yang kita lalui memberikan petanda baik kepada pasukan negara dan memastikan kita sebenarnya bersedia untuk memberi cabaran dalam pusingan kelayakan ini.

“Saya harap rakan-rakan pemain tidak putus asa dengan kekalahan ini dan kita akan bekerja keras lagi untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Dengan kekalahan itu, Malaysia kini menghuni tempat ketiga Kumpulan G dengan mengumpul tiga mata, di belakang Thailand dan UAE.

Skuad negara akan berdepan Vietnam dalam perlawanan ketiga di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:01 AM