Firdaus Hashim


TONGGAK pertahanan tengah negara, Shahrul Saad mengakui kesilapannya membaca lantunan bola pada minit ke-75 menyaksikan impian skuad Harimau Malaya memungut sekurang-kurangnya satu mata berkecai apabila tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Kata pemain Perak itu, selepas gol awal negara Syafiq Ahmad disamakan oleh Ali Ahmed Mabkhout, Malaysia berpeluang mengikat UAE pada aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas menang 3-2 ke atas Indonesia, minggu lalu.

"Pada awalnya bola hantaran penjaga gol UAE itu nampak seperti boleh diambil oleh Matthew Davies tetapi dia terlepas dan saya sedikit teragak-agak apabila bola itu datang kepada saya.

"Biasalah bola sepak ada ketika kita melakukan kesilapan kecil dan UAE menghukum kami dengan gol itu," katanya dengan nada kecewa.

Dalam insiden m-75 itu, penjaga gol UAE Mohamed Saleh Almenhali melakukan hantaran jauh dan Shahrul gagal mencabar bola membolehkan Mabkhout memintas dan menjaringkan gol kedua buat pasukannya.

Mengulas lanjut, kata Shahrul, kekalahan berkenaan sememangnya satu keputusan menyedihkan buat pasukan apatah lagi pasukan bermain cemerlang dalam tempoh 90 minit perlawanan.

"Walaupun tak dapat keputusan seri atau menang di tempat sendiri, tetapi kita menunjukkan persembahan yang cukup positif.

Kita ikut arahan daripada jurulatih, cumanya kita gagal mengambil peluang dihadapan gol seperti yang dilakukan UAE.

"Apa yang lebih penting adalah kita mampu untuk bersaing dengan pasukan hebat seperti UAE.

Dua perlawanan yang kita lalui memberikan petanda baik kepada pasukan negara dan memastikan kita sebenarnya bersedia untuk memberi cabaran dalam pusingan kelayakan ini.

"Saya harap rakan-rakan pemain tidak putus asa dengan kekalahan ini dan kita akan bekerja keras lagi untuk perlawanan seterusnya nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 4:34 PM
Shahrul (kiri) dan Farizal Marlias kecewa selepas tewas 1-2 kepada UAE. FOTO Agensi
Shahrul (kiri) dan Farizal Marlias kecewa selepas tewas 1-2 kepada UAE. FOTO Agensi