Firdaus Hashim dan Syazwan Msar


PEMAIN gantian Fadzrul Danel Mohd Nizam muncul wira Kedah apabila jaringan pada masa tambahan babak pertama membolehkan pasukannya menjulang Piala FA selepas membenam Perak 1-0 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

Fadzrul yang masuk menggantikan David Rowley hanya memerlukan dua minit untuk mencatatkan nama selaku penjaring sekaligus memastikan skuad Lang Merah membawa pulang trofi Piala FA buat kali kelima dalam sejarah pasukan itu.

Sebaliknya, Perak yang tampil selaku pasukan pilihan dengan status sebagai juara Piala Malaysia musim lalu terus kempunan untuk menamatkan kemarau Piala FA yang kali terakhir dimenangi pada musim 2004.

Beraksi di depan kira-kira 83,520 penyokong kedua-dua pasukan menyaksikan aksi final kali ini turut mencatatkan sejarah baharu apabila buat pertama kalinya pengadil import dari Jepun diterbangkan khas untuk mengadili aksi kemuncak ini.

Kedah yang sebelum ini kehilangan tonggak pertahanan tengah Renan Alves ekoran penggantungan kad merah ketika aksi terakhir Liga Super langsung tidak terganggu sepanjang 90 minit aksi perlawanan.

Amirul Hisyam Awang Kechik yang diberikan tugas mengisi kekosogan itu berjaya menyerap segala asakan Perak menerusi gandingan ayam tambatan dari Brazil, Careca dan Ronaldo Silva.Kubu

Kedah hampir dimusnahkan menerusi rembatan deras Careca pada minit kesembilan namun percubaannya sedikit tersasar buat melegakan Ifwat Akmal Chek Kassim di pintu gawang.

Skuad Hijau Kuning yang dibimbing Aidil Sharin Sahak cuba mengimbangi corak permainan pantas pasukan lawan memiliki peluang terbaik pada minit ke-30 apabila dihadiahkan sepakan percuma di depan kotak penalti tapi sepakan percuma Edgar Bernhardt melambung tinggi.

Memasuki babak kedua, anak buah Mehmet Durakovic meningkatkan tekanan dan sepakan percuma Nazirul Naim Che Hashim nyaris menewaskan Ifwat apabila tendangannya m-49 menggegar palang.

Ketika Perak ghairah menyerang, serangan kilat Kedah hampir membuahkan hasil namun sentuhan terakhir Farhan Roslan mudah didakap Hafizul Hakim m-62.

Perak seharusnya menamatkan permainan ini dengan kemenangan tetapi tolakan Ronaldo di depan pintu gol berjaya dihadang pertahanan Perak biarpun Ifwat sudah pun tertewas di m-70.

Menuju minit akhir permainan, Perak terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Amirul Azhan Aznan diperintahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua sekaligus permainan terpaksa diheret ke tambahan masa.

Kelebihan beraksi 11 pemain berjaya digunakan sebaiknya oleh Kedah apabila Fadzrul yang masuk pada m-103 berjaya memanfaatkan hantaran lintang Rizal Ghazali untuk memastikan kemenangan buat negeri Jelapang Padi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 12:40 AM
Skuad Kedah meraikan kejayaan menjuarai Piala FA untuk kali kelima. FOTO NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD
Skuad Kedah meraikan kejayaan menjuarai Piala FA untuk kali kelima. FOTO NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD