PEMAIN Kedah, Jonatan  Bauman (kanan) melakukan tandukan di hadapan pintu gol  Pahang  di Stadium Darul Aman.  - FOTO Amran Hamid
PEMAIN Kedah, Jonatan Bauman (kanan) melakukan tandukan di hadapan pintu gol Pahang di Stadium Darul Aman. - FOTO Amran Hamid
Izzali Ismail


KEDAH menutup tirai aksi terakhir di Stadium Darul Aman musim ini dengan keputusan seri 3-3 menentang Pahang pada separuh akhir pertama Piala Malaysia sebentar tadi.

Walaupun mendapat sorakan gemuruh 25,000 penyokong setia, Kedah gagal menunjukan rentak permainan sebenar dalam usaha mencari bekalan selesa untuk aksi separuh akhir kedua di Kuantan pada 26 Oktober ini.

Tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal minit ke-12 oleh Pahang melalui jaringan luar kotak penalti Wan Zaharulnizam yang bijak menewaskan Ifwat Akmal.

Kedah cuba bangkit memburu gol penyamaan namun pertahanan Kedah mengasari Saddil Ramdani memaksa pengadil, Mohammad Zamzaidi memberi Pahang sepakan penalti yang disudahkan penyerang sensasi, Dickson Nwakaeme pada minit ke-25.

Kedah yang ketiggalan dua gol akhirnya berjaya memperolehi jaringan pada minit ke-32 melalui percubaan Fernando Rodriguez yang menerima hantaran Azmmuddin Akil dari ruang kiri gawang Pahang.

Selang empat minit kemudian, Kedah mendapat penalti selepas benteng Pahang menjatuhkan Farhan Roslan namun sepakan Jonatan Bauman berjaya ditampan penjaga gawang Pahang, Helmi Eliza.

Kedah sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas penyerang utama skuad Lang Merah Fernando Rodriguez dijatuhkan dalam kotak penalti dan peluang terhidang kali kedua diperolehi Kedah ini tidak disia-siakan Rodriguez untuk menyamakan kedudukan menjadi 2-2.

Selepas memulakan aksi babak kedua, kedua-dua pasukan saling melakukan asakan memburu gol tambahan dan Pahang sekali lagi didepan pada minit ke-72 menerusi percubaan pemain tengah, Nor Azam Azih yang mudah menewaskan Ifwat Akmal.

Di hujung babak perlawanan Zaquan Adha berjaya menyelamatkan maruah Kedah daripada tewas di laman sendiri apabila menanduk bola ke gawang Pahang selepas mendapat hantaran Azmmuddin Akil menjadikan keputusan 3-3 di Darul Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 11:15 PM