TONGGAK tengah Melaka, Fadhil Idris (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Kedah, FOTO Ihsan Melaka United
TONGGAK tengah Melaka, Fadhil Idris (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Kedah, FOTO Ihsan Melaka United
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas kepada Melaka United 2-3 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kekalahan ini memberi tekanan berganda buat Kedah yang sebelum ini tewas besar 0-4 kepada Sabah dan 1-4 kepada Selangor FC.

Kedah memulakan langkah kanan dengan gol pembukaan pada minit ke-20 melalui rembatan kencang penyerang utama Ronald Ngah yang mendapat umpanan Syafiq Ahmad sekali gus menewaskan penjaga gol Melaka United Bryan See.

Keselesaan Kedah mendahului dengan satu gol bagaimanapun tidak kekal lama apabila Melaka United mengejutkan tuan rumah selang tiga minit dengan gol penyamaan oleh Ifedayo Olusegun yang menewaskan Ifwat Akmal Chek Kassim melalui sentuhan kaki kiri.

Kedah yang tertekan, terus bangkit memburu gol dan akhirnya pintu gol Melaka United berjaya dibocori kali kedua pada minit ke-36 melalui gol yang dihasilkan Kedah oleh Syafiq yang merembat kencang luar kotak penalti dengan kedudukan itu kekal hingga ke separuh masa permainan.

Bermula babak kedua, Kedah meningkatkan serangan dengan percubaan tandukan depan gol oleh Ngah pada minit ke-54 yang menyambut bola tampanan penjaga gol Melaka, namun bola itu berjaya dikeluarkan pemain pertahanan lawan.

Sedang Kedah mencari gol tambahan, Melaka sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan melalui Emanuel Oti yang merembat tepat ke arah gol pda minit ke-78 menewaskan Ifwat Akmal.

Kedah mendapat peluang terbaik menambah gol pada minit ke-87 apabila mendapat sepakan bebas namun percubaan oleh Syafiq sedikit tersasar sementara percubaan Melaka oleh Olusegun dua minit selepas itu juga gagal membuahkan hasil apabila bola percubaannya terkena palang.

Di hujung babak perlawanan Kedah terpaksa menggigit jari apabila Melaka United tampil dengan gol tambahan melalui Olusegun yang membuat tandukan menjadikan kedudukan masa penuh Kedah 2-3 Melaka United.

Sementara itu, Negeri Sembilan FC (NSFC) terus 'kebal' dalam saingan Liga Super musim ini selepas berjaya menundukkan Sarawak United 2-1 di Stadium Negeri, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan rekod tanpa kalah skuad bimbingan K Devan itu belum 'tercemar' selepas enam perlawanan liga sekali gus melonjak ke tangga teratas dengan 14 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 11:32 PM