Pemain JDT, Safawi Rasid (kanan) merebut bola daripada pemain KDA FC. FOTO Ihsan JDT.
Pemain JDT, Safawi Rasid (kanan) merebut bola daripada pemain KDA FC. FOTO Ihsan JDT.
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan keputusan 0-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bersemangat sebaik memulakan perlawanan, namun tiada percubaan bahaya dihasilkan sepanjang 10 minit pertama perlawanan.

JDT lebih dahulu memulakan serangan bahaya ke kubu tuan rumah pada minit ke-19 dengan pemain pertahanan Harimau Selatan Mauricio Dos Santos hampir menerjah gawang namun percubaannya serong ke kiri gawang.

Kedah cuba bangkit dengan asakan dari sayap kanan selepas itu, namun gerakan yang dihasilkan pemain tengah Fadzrul Danel yang membuat larian dan mencemaskan benteng JDT gagal dihantar kemas dan berjaya dipatahkan pertahanan JDT.

Peluang sepakan percuma yang dimiliki JDT pada minit ke-28 yang diambil Safawi Rasid membuka peluang JDT mencipta gol, namun percubaannya terus ke dakapan penjaga gawang Kedah Shahril Sa'ari.

JDT sekali lagi mencemaskan gawang Kedah tiga minit sebelum babak pertama berakhir apabila gerakan lincah daripada Safawi Rasid yang membuat hantaran ke zon bahaya kubu Kedah berjaya ditanduk oleh Mauricio Dos Santos namun percubaannya berjaya ditepis keluar oleh Shahril Sa'ari.

JDT terus menekan Kedah ketika kedua-dua pasukan kebuntuan gol dan tempoh 10 minit di masa kedua, Kedah terus mengekalkan disiplin pertahanan dan ini sedikit sebanyak menyukarkan gerakan yang dilancarkan JDT.

Kedah hampir membuka jaringan pada minit ke-71 apabila pemain gantian Aiman Afif mendapat peluang terbaik buat skuad Hijau Kuning selepas mendapat lorongan cantik daripada Rizal Ghazali namun percubaannya tersasar.

Kedah yang beberapa kali melakukan aksi serangan balas melalui melalui ruang tengah untuk mencari gol bagaimana pun terpaksa menghadapi pertahanan JDT yang dilihat lebih bersedia.

Seminit sebelum perlawanan tamat, JDT pula mendapat sepakan percuma selepas Mohamadou Sumareh dijatuhkan, namun sepakan diambil Leandro Velazquez ditepis Shahril Sa'ari bagi menyelamatkan gawang Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 11:38 PM