Pertahanan TFC, Muhammad Mohd Faudzi (kiri) menanduk bola ketika menentang KDA FC pada aksi Liga Super. FOTO Bernama
Pertahanan TFC, Muhammad Mohd Faudzi (kiri) menanduk bola ketika menentang KDA FC pada aksi Liga Super. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar: Hasrat Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk mengutip tiga mata di laman sendiri dan meneruskan momentum kemenangan dinafikan Terengganu FC (TFC) apabila tewas 1-2 di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Lebih mengejutkan dua pemain KDA FC, Fadzrul Danel dan Rodney Celvin dilayangkan kad merah oleh pengadil Noor Azriel Baharudin di hujung babak kedua perlawanan.

Dalam aksi berkenaan, tuan rumah lebih mengawal perlawanan pada awal babak pertama dengan percubaan Rabih Ataya seawal minit pertama dan Arif Farhan pada minit ke-10 permainan namun gagal menghasilkan gol.

TFC cuba meningkatkan rentak permainan dengan percubaan Faisal Halim pada minit ke-15 dan disusuli percubaan David Da Silva pada minit ke-22 namun percubaan dari sebelah kiri gawang KDA FC berjaya ditangkap kemas penjaga gol Shahril Saari.

Percubaan TFC melalui Mohamad Hakimi pada minit ke-32 hasil sepakan percuma pula hampir mendapatkan gol awal buat skuad bimbingan Nafuzi Zain namun percubaan itu sekadar singgah di palang gol.

KDA FC terus memburu gol pertama dan akhirnya pada minit ke-39 skuad Hijau Kuning berjaya memecah kebuntuan dengan jaringan sendiri terhasil oleh pemain TFC Mohd Fauzi yang tertampan masuk bola percubaan Rabih Ataya.

Dihujung minit babak pertama, TFC mendapat peluang keemasan apabila pengadil memberi sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Kedah Ariff Farhan dan kesempatan itu diambil oleh penyerang TFC David Da Silva untuk menyamakan kedudukan.

Pada babak kedua TFC berjaya mengejutkan Kedah apabila menambah gol melalui percubaan Azam Azmi yang menewaskan Shahril Saari pada minit ke-60 melalui hantaran pantas Faisal Halim.

Kedah cuba memburu gol penyamaan selepas memasukkan pemain simpanan Azamuddin Akil, Fadzrul Danel dan Fayadh Zulkifli bagi menggantikan Baddrol Bakhtiar, Fandi Osman dan Rabih Ataya dalam usaha menukar rentak permainan namun gagal mendapat penyudah berkesan.

Kedudukan kekal hingga ke hujung babak perlawanan menyaksikan TFC memperoleh kemenangan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 11:35 PM