FADZIL Teh dan Shahrulezad.
FADZIL Teh dan Shahrulezad.
Georgie Joseph


PERINCIAN aspek visual merangkumi lokasi dan prop dalam sesuatu drama atau filem sememangnya penting. Kesilapan kecil boleh mencacatkan perjalanan sesuatu naskhah apatah lagi jika penonton menyedari perkara itu.

Bagaimanapun, sama ada terlepas pandang atau cuba mengambil jalan singkat, masih ada produksi yang tidak peka dengan kepentingan elemen itu.

Pada era ini, penonton semakin bijak meneliti setiap perincian visual yang mereka lihat. Mata mereka tajam untuk mengesan sekecil mana pun kesilapan andai benar-benar memberi perhatian kepada sesuatu naskhah.

Contohnya insiden membabitkan drama Silang dibintangi Nazim Othman dan Emma Maembong jelas membuktikan kesilapan sebegitu masih berlaku. Penonton sendiri mengesan foto perkahwinan Nazim dan bekas isterinya, Bella Dally disunting menggunakan wajah Emma.

Ikuti pendapat dua penerbit dan pengarah tempatan berkenaan isu terbabit.

SHAHRULEZAD MOHAMEDIN (Pengarah dan penerbit)

“Mana ada produksi dalam dunia ini yang tidak buat silap? Sedangkan produksi gergasi Games of Thrones pun menjadi bualan apabila ada minuman Starbucks dalam drama berkenaan.

Sebagai pengkarya selama bertahun-tahun dalam industri ini, saya faham sangat apa yang kami semua lalui. Bukannya ambil mudah tapi kesilapan kecil begitu memang sukar ditepis disebabkan banyak faktor.

Berbanding mengambil mesej positif daripada sesebuah karya, penonton sebaliknya akan mempersoalkan perkara buruk terlebih dulu dan ini berlaku kepada mana-mana produksi.

Saya anggap ini sudah menjadi lumrah untuk setiap pengkarya apabila walau sebaik mana pun usaha kami, tetap akan ada kelemahannya juga. Bezanya sekarang, banyak pihak lebih suka memprovokasi hal itu.

Bagaimanapun, saya percaya ramai penerbit termasuk saya sudah lali apabila isu sebegini ditimbulkan. Kami juga tidak terlepas daripada kesilapan dan terlepas pandang secara tidak sengaja.

“Kadang-kadang saya rasa kelakar apabila kesilapan yang mereka persoalkan sangat remeh. Bagaimanapun, disebabkan provokasi mereka menjadikan isu sebegitu umpama kesilapan yang sangat besar sesuatu produksi.”

FADZIL TEH (penerbit)

“Sekarang ini apa saja yang produksi dan pasukan saya buat kena lebih banyak berhati-hati. Untuk menyiapkan sesuatu drama, banyak aspek yang akan kami kaji secara teliti dan memastikan hasilnya terbaik.

Saya dapati sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan penonton dan warganet untuk memperbesarkan hal ini. Ada saja isu yang cuba dicetuskan semata-mata mahu memalukan pengkarya dan penerbit.

Kadang-kadang saya lihat warganet ini lebih kepada mahu menagih populariti dengan berbuat demikian menerusi media sosial.

Semestinya perkara ini memberi kesan kepada bukan saya bahkan penggiat seni yang lain. Hal kecil sebegini boleh memberi kesan kepada reputasi.

Memang terbit rasa malu apabila kesilapan kecil itu dikesan sendiri warganet terlebih dulu. Bagaimanapun, biarlah saya mengambil hal ini dengan lebih

serius sebagai pengkarya yang sangat mengambil berat mengenai industri kita. Saya juga mengambil serius meminta pasukan supaya sentiasa teliti menyiapkan karya kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 5:30 AM