Ridzuan Abdul Rahman


KEBERKESANANNYA membawa setiap watak yang diamanahkan membuktikan Nazim Othman sememangnya berada dalam kelas tersendiri.

Bermula dengan kepayahan untuk melangkah masuk dalam industri seni, dia kini tersenarai antara nama rebutan penerbit untuk melariskan sesebuah drama.

Rasa syukur diucapkan oleh pelakon memiliki nama sebenar Nushrul Alif Othman ini apabila drama terbaharu lakonannya, Takdir Yang Tertulis yang disiarkan di TV3 kini menjadi buah mulut penonton.

"Alhamdulillah, kerana itu menandakan drama ini mendapat perhatian dari khalayak penonton yang besar.

"Sewaktu penggambaran selama dua bulan, kami tak meletakkan apa-apa harapan apabila drama ini disiarkan.

"Fokus kami cuma buat yang terbaik semampu kami selama proses penggambaran berlangsung. Apatah lagi kami bekerja ketika pandemik Covid-19 yang melanda dunia," katanya.

Memberitahu wataknya sebagai Azlan yang mengkhianati isteri sendiri, Nazim mengakui pasti dirinya menjadi kecaman warganet yang membencinya.

"Saya tidak tergugat dan tetap tenang kerana bukan pertama kali melalui situasi ini. Saya okay saja kerana yakin penonton cuma marahkan watak lakonan saya.

"Langsung tiada perasaan kecil hati, malah lega kerana ramai yang mengatakan gaya lakonan saya tampak matang dan berbeza dalam naskhah arahan Shahrulezad Mohameddin ini.

"Saya juga sangat menghargai komitmen semua rakan lakon yang berdisiplin menjaga karakter lakonan masing-masing. Tak lupa juga kepada keseluruhan kru produksi yang komited demi menjayakan drama ini," katanya.

Menurutnya, pengalaman bekerja dengan Shahrulezad adalah satu proses yang sangat mengujakan.

"Ia kerana, sememangnya sudah bertahun-tahun lamanya saya mengharapkan untuk bekerja di bawah arahan dia.

"Takdir Yang Tertulis adalah drama rantaian ketiga saya bersama rumah produksi Radius One, tapi ini kali pertama saya berkesempatan bekerja di bawah arahan penuh Shah rulezad.

"Pada saya, dia pengkarya yang bijak bermain psikologi untuk mengeluarkan sisi karakter yang diinginkan dari seseorang pelakon," katanya.

Katanya lagi, Shahrulezad menulis skrip di lokasi penggambaran seiring hari yang berlalu.

"Plot penceritaan acapkali berubah dan sebagai pelakon, kami semua perlu sentiasa bersedia.

"Tapi ia tidaklah sampai membebankan malah hasilnya ternyata lebih baik. Karakter dan kreativiti Shahrulezad amat saya kagumi.

"Setiap segi karyanya diambil berat termasuk memahami kepentingan skor muzik yang sesuai untuk membantu 'mood' penceritaan dan emosi dalam drama," katanya.

BERSYUKUR watak Azlan mendapat perhatian penonton.
BERSYUKUR watak Azlan mendapat perhatian penonton.

Menurutnya lagi, dia juga mudah mencari keserasian antara rakan pelakon lain walaupun pertama kali digandingkan bersama.

"Ini kali pertama saya bergandingan bersama Nad Zainal, Elvina Mohamad, Alvin Chong , Didie Alias dan Isaac Iman.

"Proses suai kenal berlangsung seiring dengan proses penggambaran. Jujurnya tidak sukar, tapi adakalanya fikiran saya kadangkala terganggu ketika penggambaran kerana terlebih berfikir.

"Apapun, bekerja dengan mereka tetap menjadi kenangan yang baik kerana banyak perihal berkenaan kehidupan dan hubungan sesama manusia saya belajar secara tidak langsung ketika kami bekerjasama," katanya.

Jadual padat Bercerita perkembangan terbaru, Nazim melahirkan perasaan syukurnya kerana sudah dilamar untuk tiga projek drama.

"Saya kini sedang menunggu tarikh kebenaran penggambaran memandangkan kita masih lagi dalam lingkungan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Alhamdulillah, saya bersyukur masih lagi mendapat kepercayaan penerbit, pengarah dan stesen TV untuk menggalas tanggungjawab sebagai pelakon utama walaupun usia saya menginjak 37 tahun pada tahun ini," katanya.

Beralih kepada sisi peribadi, Nazim yang sudah dua tahun menduda, enggan membicarakannya secara terbuka.

"Tidak banyak yang boleh saya kongsikan. Cukuplah khalayak luar tahu saya masih solo.

"Buat masa ini, saya cuma mahu fokus pada kerjaya, diri sendiri dan keluarga.

"Soal jodoh saya tak terlalu fikirkan. Saya percaya aturan Allah itu adalah yang sebaik-baiknya," katanya yang pernah berkahwin dengan pelakon Bella Dally pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 6:00 AM