SAJAT tak akan memohon maaf. FOTO Instragram Sajat.
SAJAT tak akan memohon maaf. FOTO Instragram Sajat.
Najiy Jefri


“SAYA tak akan memohon maaf,” kata usahawan kosmetik Nur Sajat mengenai tuntutan permohonan maaf secara terbuka daripada seorang individu bernama Yusmiliati Mohamed Yusof, semalam.

Permohonan itu bagi membersihkan nama Yusmiliati yang dituduh sebagai penipu berikutan didakwa gagal menguruskan penukaran jantina Sajat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sajat ketika dihubungi berkata, bantuan yang ditawarkan untuk permohonan bagi menukar jantina pada kad pengenalan seperti didakwa wanita terbabit amat melucukan.

“Kenyataan yang diberikan wanita itu ada yang bercanggah dan mungkin mempunyai kepentingan tertentu. Saya tidak pernah minta tukar jantina dan ia sangat melucukan. Geli hati saya mendengarnya.

“Bagi saya, netizen sudah tahu siapa nama saya yang sebenar menerusi beberapa kes saya di Mahkamah sebelum ini. Sudah jelas terpapar nama saya dalam berita di televisyen mengenai isu GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) yang dikenakan terhadap saya sebelum ini,” katanya.

Sajat turut mendakwa wanita terbabit sengaja menggunakannya untuk tujuan tertentu.

“Saya mengenalinya daripada seorang kenalan. Saya diberitahu dia bekerja di sebuah kelab di Kuala Lumpur. Saya enggan komen lebih lanjut kerana saya rasa dia sengaja menggunakan saya untuk tujuan publisiti atau perkara lain.

“Mungkin juga dia nak popular. Apa yang didedahkan sangat melucukan. Bagi saya pihak polis tidak akan menahan seseorang itu tanpa usul periksa. Pasti ada bukti dan perkara yang dibuat,” katanya.

Dalam satu sidang media semalam, Yusmiliati mendakwa, dia mengenali Sajat melalui seorang teman pada Jun 2017.

Yusmiliati juga mengakui beberapa kali bertemu Sajat dan pembantunya Ashaari Maznan bagi mendapatkan pertolongan menguruskan dokumen berkaitan permohonan menukar jantina dalam MyKad di JPN pada Ogos 2017.

Bagaimanapun, permohonan terbabit ditolak kerana Sajat didakwa gagal mengemukakan beberapa dokumen rasmi perubatan yang mengatakan dirinya khunsa.

Akibat tidak berpuas hati kerana permohonannya gagal, Sajat dan pembantunya yang didakwa turut mahu menukar jantina dalam MyKad membuat laporan polis terhadap Yusmiliati pada 29 Ogos tahun lalu atas tuduhan menipu.

Disebabkan itu, Yusmiliati ditahan reman selama empat hari pada 1 Januari lalu di Balai Polis Ampang atas kesalahan jenayah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Yusmiliati turut ditiduh di Mahkamah Majistret Ampang atas dua tuduhan iaitu menipu dan kes masih dalam proses sebutan kerana dia mengaku tidak bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 3:11 PM