DR Tengku Muhammad Fa-iz Petra (kiri) akan melangsungkan perkahwinan dengan Cik Sofie Louise Johansson di Istana Balai Besar, Kota Bharu, 19 April 2019. FOTO arkib NSTP/ihsan Istana Kelantan
DR Tengku Muhammad Fa-iz Petra (kiri) akan melangsungkan perkahwinan dengan Cik Sofie Louise Johansson di Istana Balai Besar, Kota Bharu, 19 April 2019. FOTO arkib NSTP/ihsan Istana Kelantan
Muhamaad Razis Ismail


TENGKU Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, 45, akan melangsungkan perkahwinannya dengan warga Sweden, Sofie Louise Johansson, 33, di Istana Balai Besar, Kota Bharu, 19 April ini.

Ketua Istiadat Pejabat Istana Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, pasangan baginda adalah kenalan lamanya.

“Sukacita saya dengan hormatnya menjunjung titah perintah Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Tengku Mahkota Kelantan akan melangungkan perkahwinan pada Jumaat, 13 Syaaban 1440H bersamaan 19 April 2019 di Istana Balai Besar.

“Yang Teramat Mulia juga bertitah agar cenderamata sempena istiadat perkahwinan baginda disumbangkan kepada badan kebajikan Kelantan seperti Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK), Rumah Anak-Anak Yatim dan Orang Tua serta Persatuan Bulan Sabit Merah

“Baginda berharap agar sekalian rakyat dapat mendoakan perkahwinan baginda kelak akan dipermudahkan dan dirahmati Allah sehingga jannah,” katanya dalam sidang media di Istana Balai Besar di Kota Bharu, hari ini.

DR Tengku Mohamed Faziharudean (tengah) pada sidang media. FOTO Syamsi Suhaimi
DR Tengku Mohamed Faziharudean (tengah) pada sidang media. FOTO Syamsi Suhaimi

Beliau berkata, istiadat perkahwinan akan diadakan secara tertutup dan sederhana dengan dihadiri ahli keluarga, kaum kerabat dan sahabat.

“Majlis akad nikah akan diadakan pada hari sama selepas solat Isyak sebelum disusuli dengan istiadat perkahwinan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 10:30 AM