TENGKU Muhammad Fakhry.
TENGKU Muhammad Fakhry.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan berkuatkuasa 4 Januari lalu.

Pelantikan itu sekali gus menyaksikan gelaran Tengku Mahkota Kelantan yang dikurniakan kepada Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fa-iz Petra sebelum ini ditarik balik.

Menerusi Warta Kerajaan Kelantan bertarikh 11 Januari yang tular di laman sosial sejak kelmarin memaklumkan, perkara berkenaan mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Warta berkenaan juga turut memaklumkan, satu mesyuarat diadakan pada 4 Januari lalu pada 3.30 petang membabitkan Ahli-Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan di Bilik Mesyuarat Setiausaha Kerajaan Kelantan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan, Kompleks Kota Darulnaim berhubung perkara berkenaan.

"Memenuhi kehendak Fasal (2) Perkara 27 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), bahawasanya kami dengan ini bersetuju mengangkat sembah nasihat kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V untuk mengurniakan akan gelaran Tengku Mahkota Kelantan kehadapan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra, Tengku Bendahara Kelantan pada ketika ini.

"Tengku Muhammad Fakhry Petra adalah putera zuriat Almarhum Sultan Ismail Petra, menepati dengan maksud Perkara 30 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua)," katanya.

Warta Kerajaan Kelantan turut memaklumkan, Sultan Muhamad V turut menarik balik akan gelaran Tengku Mahkota Kelantan yang dikurniakan kepada Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Katanya, penarikan itu berdasarkan kepada kuasa Baginda di bawah Fasal (2) Perkara 27 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) dibaca bersama dengan Seksyen 47.

Sehingga kini, usaha NSTP untuk mendapatkan pengesahan daripada kerajaan negeri berhubung perkara ini gagal kerana tidak mendapat maklum balas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 5:01 PM