Nurul Hidayah Bahaudin

LEBIH 50 kenderaan buruk yang tersadai termasuk pemiliknya melakukan kesalahan lalu lintas ditunda anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di seluruh ibu kota, setiap hari.

Jumlah tinggi kenderaan yang ditunda secara harian itu menyebabkan berlaku kesesakan di depoh milik DBKL terutama kenderaan buruk yang tersadai.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung kewujudan kenderaan buruk yang tersadai selain kenderaan didapati melakukan kesalahan lalu lintas menyebabkan tindakan tunda diambil.

KEADAAN tempat simpanan kenderaan yang disita oleh pihak Penguatkuasa DBKL di Cheras. -Foto NSTP
KEADAAN tempat simpanan kenderaan yang disita oleh pihak Penguatkuasa DBKL di Cheras. -Foto NSTP

“Berdasarkan aduan dan rondaan yang dilakukan, kami menunda 20 kenderaan buruk yang tersadai di 11 kawasan Parlimen di bawah seliaan DBKL setiap hari, manakala lebih 35 kenderaan melakukan kesalahan lalu lintas turut ditunda setiap hari.

“Melihat kepada jumlah kenderaan yang ditunda setiap hari, kami berdepan isu kapasiti bagi menyimpan kenderaan berkenaan terutama membabitkan kenderaan buruk kerana DBKL hanya mempunyai satu depoh dikhususkan bagi meletakkan kenderaan buruk yang ditunda iaitu di Depoh Simpanan Kenderaan Taman Connaught,” katanya.

OPERASI DBKL tempat penyimpanan kenderaan sitaan.
OPERASI DBKL tempat penyimpanan kenderaan sitaan.

Azman berkata, pihaknya mempunyai lima depoh simpanan kenderaan bagi menempatkan kenderaan ditunda dalam operasi serta pemeriksaan dilakukan pasukan Jabatan Penguatkuasaan DBKL setiap hari.

Katanya, lima premis itu membabitkan depoh simpanan kenderaan yang terletak di Taman Connaught, Jalan Emas, Jinjang, Sentul dan Salak Selatan selain memiliki dua lagi premis membabitkan stor sitaan
di Jalan Lombong serta Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

“Depoh di Taman Connaught yang berkeluasan 1.5 hektar mampu menempatkan kira-kira 1,500 kenderaan buruk yang tersadai dalam masa serentak. Bagi depoh di Jalan Emas berkeluasan hampir satu hektar dapat menempatkan kira-kira 400 kenderaan dan berfungsi untuk menyimpan kenderaan yang akan dilupuskan sebelum dan selepas proses lelong berlangsung.

“Depoh di Jinjang dan Sentul adalah untuk menempatkan kenderaan yang ditunda atas kesalahan lalu lintas dan gabungan kedua-dua depoh ini dapat menempatkan kira-kira 400 kenderaan dalam masa serentak. Depoh di Salak Selatan pula menempatkan kenderaan serta jentera berat yang ditunda sama ada tersadai atau melakukan kesalahan lalu lintas.

“Bagaimanapun, depoh berkeluasan 0.46 hektar itu dalam proses penambahbaikan dan akan beroperasi pada awal Mac ini dengan kapasiti kira-kira 100 kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri segelintir individu dikenal pasti sebagai punca utama yang mendorong jumlah tinggi kenderaan yang ditunda anggota penguat kuasa DBKL setiap hari.

“Kebanyakan pemilik kenderaan ditunda memberi alasan tidak tahu proses bagi melupuskan kenderaan buruk yang tersadai selain terpaksa meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan kerana tiada ruang untuk parkir.

“Alasan ini jelas menunjukkan mereka (pemilik kenderaan) tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri. Mereka tahu tindakan itu salah dan menyusahkan orang lain, namun masih melakukan kesalahan berkenaan.

“Malah, tindakan membiarkan kereta buruk tersadai akan mencacatkan pemandangan dan menyebabkan imej ibu kota ini terjejas kerana landskap yang kotor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 8:03 AM