LALUAN Biru diperkenalkan DBKL untuk menggalakkan warga kota berbasikal.
LALUAN Biru diperkenalkan DBKL untuk menggalakkan warga kota berbasikal.
Zaitie Satibi

Masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota sering menjadi topik perbualan hangat hingga menyebabkan pengguna jalan raya tertekan.

Namun, sehingga kini penyelesaian masalah itu belum dapat dicapai sepenuhnya.

Antara faktor kesesakan jalan raya adalah pertambahan jumlah kenderaan, sikap pemandu enggan mematuhi peraturan dan projek pembangunan di ibu negara.

Pelbagai langkah dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu termasuk menyediakan laluan basikal oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertujuan menarik minat warga kota menggunakan kenderaan roda dua itu.

Bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar Mesra Basikal, DBKL mempromosikan laluan basikal berwarna biru sejauh 11 kilometer yang diwujudkan pada awal tahun ini menerusi Program Kayuhan Biru, baru-baru ini.

SENAMAN ringan sebagai pemanas badan sebelum acara kayuhan bermula.
SENAMAN ringan sebagai pemanas badan sebelum acara kayuhan bermula.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, acara kayuhan itu adalah satu usaha memupuk aktiviti berbasikal dalam kalangan warga kota dan warga kerja DBKL khususnya.

“Objektif utama Program Kayuhan Biru untuk mempromosi Laluan Biru (Blue Lane) kepada warga kota, di samping keselamatan mereka yang berbasikal di sekitar pusat bandar diberi keutamaan.

“Walaupun DBKL melaksanakan pelbagai langkah mendidik masyarakat berhubung laluan basikal termasuk menempatkan pasukan penguat kuasa, pengguna kenderaan lain terus tegar dengan sikap tidak bertanggungjawab mereka.

“Selain penunggang motosikal yang menyalahgunakan laluan itu, pemandu kenderaan pula meletak kenderaan mereka di atas laluan berkenaan yang menghalang penunggang basikal,” katanya.

Dalam acara itu seramai 100 peserta berbasikal sejauh 3.6 kilometer bermula dari Dataran DBKL di Jalan Raja Laut ke Menara DBKL 3 di Jalan Raja Abdullah sebelum berpatah balik ke Dataran DBKL.

Selain Mhd Amin Nordin yang turut serta mengayuh, acara berkenaan diserikan dengan kehadiran bekas pelumba basikal negara, Wan Mohd Najmi Wan Mohamad, Noreffendi Rosli, Suhaimi Keton, Musairi Musa dan Suhardi Hassan.

BEKAS pelumba kebangsaan (dari kiri) Wan Mohd Najmi, Suhaimi, Suhardi, Noreffendi dan Musairi tidak ketinggalan memeriahkan acara kayuhan.
BEKAS pelumba kebangsaan (dari kiri) Wan Mohd Najmi, Suhaimi, Suhardi, Noreffendi dan Musairi tidak ketinggalan memeriahkan acara kayuhan.

Turut hadir, Pengerusi Bersama Jawatankuasa KL Car Free Morning, Datuk Naim Mohamed dan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri.

Mhd Amin Nordin berkata, pihaknya akan memastikan pelaksanaan lorong basikal mencapai tahap keselamatan yang tertinggi selaras dengan undang-undang negara dan garis paduan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Beliau turut berharap laluan basikal disediakan digunakan sebaik-baiknya dan matlamat untuk kurangkan kesesakan lalu lintas dan pelepasan karbon, di samping menggalakkan orang awam berjalan dan berbasikal di ibu kota akan tercapai.

PESERTA kayuhan termasuk Mhd Amin Nordin (berbasikal empat dari kanan) bersedia memulakan kayuhan pada Program Kayuhan Biru.
PESERTA kayuhan termasuk Mhd Amin Nordin (berbasikal empat dari kanan) bersedia memulakan kayuhan pada Program Kayuhan Biru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 12:56 AM