MAJORITI kenderaan yang tersadai di tempat letak kereta adalah kenderaan lama yang usianya mencecah 10 tahun ke atas. FOTO Arkib NSTP
MAJORITI kenderaan yang tersadai di tempat letak kereta adalah kenderaan lama yang usianya mencecah 10 tahun ke atas. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Mana-mana pemilik yang masih gagal mengalihkan kenderaan tersadai di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu negara dalam tempoh 14 hari, berdepan dikenakan tindakan penundaan dan pelupusan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Osman Ismail berkata, tindakan berkenaan diambil mengikut peruntukan Seksyen 46(1)(e) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Katanya, DBKL melalui Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Penguatkuasaan (JPK) bagi menangani aduan yang diterima berkaitan kenderaan usang yang tersadai di kawasan kediaman berkenaan.

"JPKKB bertanggungjawab menyediakan senarai kenderaan usang yang tersadai di lot tempat letak kereta di PPR atau PA DBKL dan dipanjangkan kepada JPK untuk tindakan selanjutnya.

"JPK hanya akan melakukan tindakan tunda terhadap pemilik kenderaan yang masih ingkar selepas Notis Penguatkuasaan dikeluarkan kepada pemilik supaya kenderaan itu dialihkan dalam tempoh tiga, tujuh atau 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan," katanya kepada Harian Metro.

LAPORAN Harian Metro, 18 Julai 2022.
LAPORAN Harian Metro, 18 Julai 2022.

Osman berkata, kenderaan yang ditunda akan dibawa ke Depoh Simpanan Kenderaan DBKL di Taman Connaught dan Notis Pemakluman dikeluarkan kepada pemilik mengenai kenderaan miliknya ditunda oleh DBKL.

"Sekiranya kenderaan berkenaan masih tidak dituntut oleh pemilik selepas sahaja tamat tempoh Notis Pemakluman, kenderaan itu akan disyorkan untuk proses pelupusan," katanya.

Menurutnya, sepanjang 2021, sebanyak 1,346 kenderaan buruk atau tersadai di sekitar Kuala Lumpur sudah ditunda, manakala 129 buah bagi Januari hingga April lalu.

Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsikan ke e-mel Suara Anda, Kami Dengar di [email protected]

Berita berkaitan


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 7:30 AM