BEBERAPA beg plastik mengandungi anggota badan mangsa yang ditemui polis. - Agensi
BEBERAPA beg plastik mengandungi anggota badan mangsa yang ditemui polis. - Agensi
Agensi

MOSCOW: Seorang nenek berusia 80 tahun ditahan kerana disyaki menyembelih seorang lelaki yang juga penyewanya dengan kapak sebelum mengerat dan membuang anggota badan mangsa di sekitar kediamannya di Berezovska, pinggir kota Khabarovsk di timur Russia.

Mirror Online melaporkan, perbuatan kejam nenek itu terbongkar selepas sekumpulan kanak-kanak menemui tangan lelaki dipotong dan dibuang berhampiran blok pangsapuri yang didiami wanita berkenaan.

Polis kemudian menemui lebih banyak anggota badan di dalam beberapa beg plastik yang dibuang berhampiran kawasan kediaman itu.

Pemeriksaan cap jari mendapati anggota badan itu adalah milik seorang lelaki warga Ukraine berusia 52 tahun yang bekerja sebagai tukang sapu dan menyewa di rumah wanita berkenaan.

Ketika disoal siasat wanita itu pada mulanya menafikan membunuh mangsa tetapi polis menemui organ dalaman manusia termasuk usus di dalam peti sejuk suspek.

Kata polis, wanita itu pernah bekerja sebagai tukang lapah dan penyembelih di sebuah ladang babi. Dia juga sering membantu petani tempatan menyembelih haiwan ternakan mereka.

LOKASI beberapa beg plastik mengandungi mayat mangsa yang dibuang suspek. - Agensi
LOKASI beberapa beg plastik mengandungi mayat mangsa yang dibuang suspek. - Agensi

“Anjing pengesan turut menemui kesan darah selain anggota badan yang sudah dilapah dan dibuang di sekitar tempat tinggal wanita itu,” kata jurucakap polis.

Beberapa jiran memberitahu polis mereka mendengar bunyi ketukan keras seperti seseorang menggunakan kapak di rumah nenek itu beberapa hari sebelum anggota badan mangsa ditemui.

Susulan kejadian itu polis membuka semula beberapa kes orang hilang termasuk seorang penyewa wanita yang hilang bersama sejumlah wang selepas menemui pasport mangsa di rumah suspek.

Kes seorang remaja yang hilang beberapa tahun lalu turut diteliti semula sekiranya suspek mempunyai kaitan dengan kehilangannya.

Wujud khabar angin daripada penduduk di kawasan itu yang menuduh nenek berkenaan memakan manusia tetapi ia tidak disahkan oleh Jawatan Kuasa Siasatan Russia.

Sebuah mahkamah membenarkan wanita itu ditahan selama dua bulan bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 7:00 AM