CUMMINS. FOTO Agensi
CUMMINS. FOTO Agensi
Agensi

NASHVILLE (AMERIKA SYARIKAT): Seorang lelaki berusia 25 tahun disyaki membunuh tujuh orang termasuk ahli keluarganya sendiri, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dan seorang wanita ketika cuba merampas kenderaan mangsa berkenaan.

Michael Cummins ditahan Sabtu lalu susulan polis menemui mayat di dua rumah di Westmoreland, antaranya ibu bapanya, David serta Clara, selain seorang bapa saudara, Charlie Hosale dan budak berusia 12 tahun yang ditembak mati, lapor Daily Mail. Mangsa yang cedera dipercayai nenek suspek yang dipukul teruk.

Polis turut menemui seorang mangsa yang cedera di salah satu rumah berkenaan manakala satu lagi mayat seorang wanita ditemui di atas jalan selepas disyaki ditembak ketika Cummins merampas keretanya.

CLARA dan David. FOTO Agensi
CLARA dan David. FOTO Agensi

Suspek ditangkap selepas ditembak tidak jauh dari tempat kejadian selepas berlindung di dalam hutan dan kini dirawat di hospital, kata jurucakap Biro Penyiasatan Tennessee (TBI) Josh DeVine.

Lebih sedozen pegawai penguat kuasa undang-undang daerah bersama pasukan SWAT masuk ke kawasan hutan untuk menangkapnya.

WROC-TV melaporkan, suspek mempunyai latar belakang jenayah di Sumner County dan menunjukkan sikap agresif yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Jenayah terakhirnya adalah pada September 2017 apabila suspek ditangkap dan didakwa atas pelbagai tuduhan termasuk melakukan serangan, membakar, melarikan diri dan mencuri.

Sementara itu, ahli keluarga Cummins menubuhkan akaun GoFundMe bagi membantu keluarga itu membayar perbelanjaan pengebumian untuk David dan Clara Cummins.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 7:03 AM