ANGGOTA penyelamat menyiasat Sungai Moika, Saint Petersburg. FOTO: AFP
ANGGOTA penyelamat menyiasat Sungai Moika, Saint Petersburg. FOTO: AFP
AFP

SAINT PETERSBURG: Sejarawan terkenal Russia di Saint Petersburg mengaku membunuh kekasih juga bekas pelajarnya malah cuba melupus tubuhnya dalam pembunuhan kejam yang mengejutkan seluruh Russia.

Oleg Sokolov, 63, pensyarah sejarah di Universiti Saint Petersburg State yang menerima Legion of Honneur Perancis pada 2003, ditahan kelmarin kerana disyaki melakukan pembunuhan selepas dia diselamatkan dari Sungai Moika bersama beg berisi lengan wanita.

Menurut peguam Alexander Pochuev, Sokolov mengaku bersalah dan menyesal di atas perbuatannya serta memilih untuk bekerjasama dengan polis.

Sokolov dilaporkan mabuk dan terjatuh ke dalam sungai di Saint Petersburg ketika cuba melupuskan beberapa anggota badan.

Media tempatan melaporkan, Sokolov memberitahu polis, ketika bertengkar bersama kekasihnya, dia menembak dan membunuh mangsa kemudian memotong kepala, lengan dan kakinya.

SOKOLOV
SOKOLOV

Polis menemui mayat Anastasia Yeshchenko, 24, yang mengarang bersama Sokolov dalam beberapa karya dan gergaji dipenuhi darah di rumahnya.

Selepas melupuskan mayat kekasihnya, dia merancang mahu membunuh diri di Benteng Peter dan Paul, dengan berpakaian sebagai Napoleon Bonaparte.

Pochuev mencadangkan Sokolov mungkin mengalami tekanan atau emosinya terganggu.

Mahkamah hari ini akan memutuskan sama ada mahu menahan sejarawan itu yang kini dirawat akibat hipotermia di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 8:43 PM