ZIZAN. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
ZIZAN. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Najiy Jefri

Selagi empunya diri belum menyimpulkan kisah hubungan cintanya dengan si bunga yang menjadi dambaan ramai lelaki, selagi itulah pertanyaan demi pertanyaan terpaksa dihadam dua selebriti terkenal ini.

Setakat ini Zizan Razak tenang dan tidak melatah saat ditanya mengenai perkembangan hubungannya dengan pelakon jelita Mira Filzah.

Kata Zizan, tidak pernah terniat di hati untuk buat umum berteka-teki sebaliknya dia lebih selesa berkongsi apabila sudah ada kepastian.

“Saya tidak mahu berkongsi perkara yang belum pasti. Buat masa ini tiada apa yang baharu me­ngenai kehidupan peribadi saya.

“Cuma saya mengharapkan doa yang baik-baik daripada semua. Insya-Allah jika ada khabar gembira pasti akan saya kongsi.

“Fokus saya sekarang masih lagi kepada kerjaya. Mengenai hubungan saya dengan Mira, anggap kami masih berkawan rapat,” katanya.

Namun, Zizan tidak menafikan Mira memenuhi ciri-ciri isteri idamannya.

“Dia miliki apa yang saya cari. Hatinya baik dan santun orangnya. Malah, dia pendengar yang baik dan selalu memberikan nasihat.

“Saya selesa berkawan rapat dengannya. Jika sudah ada kepastian saya akan umumkan nanti,” katanya ringkas.

Jaga hubungan dengan peminat

Meski lebih sedekad mengabdikan diri dalam arena seni, Zizan tidak pernah mendabik dada sebaliknya menegaskan masih banyak ilmu yang perlu digali baik sebagai pelawak, pelakon mahupun pengacara. Pendek kata, dia masih belajar dan proses itu tidak pernah berhenti.

Bintang utama Polis Evo 2 itu juga mengakui dia perlu bekerja keras bagi memastikan dirinya terus relevan dalam industri serta menghargai insan istimewa dalam hidupnya.

“Saya mahu balas jasa keluarga. Rasanya apa yang saya beri kepada ibu bapa belum cukup dengan apa yang mereka bagi kepada saya.

“Saya menghargai orang tua tercinta dan peminat dengan bekerja keras. Kepuasan itu sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.

Sedia maklum media sosial medium terbaik untuk berinteraksi dengan peminat, Zizan sentiasa menjaga hubungan itu agar terus berkekalan.

“Sibuk macam mana sekali pun jangan sekali-kali mengabaikan peminat. Mereka sumber kekuatan saya selain keluarga.

“Tak semestinya perlu bersua muka, berbalas mesej dan melayan komen mereka menerusi media sosial sudah cukup buat mereka rasa dekat dengan saya.

“Tanpa sokongan mereka, mana mungkin saya dapat bertahan selama ini,” katanya.

Polis Evo 2 serlah sisi berbeza

Kembali menterjemahkan karakter Inspektor Sani menerusi filem Polis Evo 2, kredibiliti Zizan sebagai pelakon watak serius semakin mendapat pujian ramai.

Kata Zizan, menerusi naskhah kali ini dia cuba menonjolkan ruang baharu buat pelawak lain untuk mencuba sesuatu yang berlainan.

“Saya nak ubah tanggapan klise orang ramai yang pelawak hanya terikat dengan karakter komedi semata-mata.

“Jadi, menerusi filem Polis Evo 2, saya cuba buktikan pandangan itu tidak benar selain mahu buka jalan kepada pelawak lain untuk turut mencuba watak serius.

“Kalau kita lihat di Hollywood pun aktor komedi seperti Will Smith sudah lama buat begini dan sudah sampai masa kita praktikkan di sini,” katanya.

Menjayakan babak emosi dan tangisan tidak mudah, namun Zizan berjaya melakukannya dengan cemerlang.

Menurut Zizan, jika dulu air mata yang keluar ketika menjalani penggambaran ada yang dibuat-buat tetapi menerusi Polis Evo 2 ia berlaku secara semula jadi tanpa perlu dipaksa.

“Berlakon babak emosi lebih memenatkan daripada babak fizikal (aksi). Untuk menjayakan babak terbabit, saya sampai demam dan migrain kerana itu bukan kecenderungan saya.

“Apapun, terima kasih kepada pengarah kerana tahu cara terbaik untuk membuatkan air mata saya keluar secara semula jadi.

“Sebagai pelakon yang dikenali dengan sisi jenaka, saya mengaku sebelum ini menggunakan ubat titis mata (Eye Mo) untuk babak menangis tetapi tidak dalam Polis Evo 2.

“Lebih kurang sejam saya menangis untuk menjayakan babak emosi filem ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 6:01 AM