ZIZAN Razak. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ZIZAN Razak. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Najiy Jefri

Bukan sengaja pelawak popular berusia 34 tahun ini merahsiakan kisah percintaannya dengan pelakon jelita Mira Filzah, sebaliknya Zizan Razak enggan terburu-buru mendedahkan kesahihan hubungan mereka.

Walaupun ditanya berulang kali mengenai sejauh mana hubungan cinta yang dibina, Zizan tetap berpegang teguh dengan prinsip hidupnya iaitu menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Ilahi.

Katanya, dia mengakui apabila sudah sampai waktunya nanti, cinta dan jodoh pasti bertemu, tinggal lagi cepat atau lambat untuk menghiasi taman jiwa.

“Saya tidak mahu berkongsi perkara yang belum pasti. Ketika ini, tiada apa yang terbaru mengenai kehidupan peribadi saya.

“Cuma saya mengharapkan doa yang baik-baik daripada semua. Insya-Allah jika ada khabar gembira pasti saya akan kongsikan nanti.

“Namun, buat masa ini fokus saya masih kepada kerjaya. Mengenai hubungan saya dan Mira anggap kami masih berkawan rapat,” katanya.

Enggan memanjangkan kisah peribadinya, Zizan dilihat lebih teruja berkongsi mengenai single terbarunya, Kau Takkan Tahu yang mula diperkenalkan sejak 3 Ogos lalu.

Menurut Zizan, lagu ciptaan Alif daripada Mafic Potions itu sudah terhasil sejak dua tahun lalu, namun baru kini dapat direalisasikan.

Bagaimanapun, dia bersyukur apabila video lagu yang dinyanyikan bersama Melda itu sudah ditonton lebih 500,000 kali di YouTube.

“Alhamdulillah lagu ini mendapat sambutan daripada pelbagai pihak. Walaupun nyanyian dilakukan sebagai aktiviti sampingan, ramai yang menyukai cara nyanyian saya.

“Melihat maklum balas positif ini membuatkan saya teruja dan puas dapat menghiburkan hati ramai orang khususnya peminat yang tidak pernah jemu menyokong saya selama hampir 11 tahun dalam industri seni,” katanya.

Ramai mahu melihat Zizan dan Mira digabungkan

Ditanya tidakkah dia terfikir untuk mempelawa Mira dalam video muzik dalam lagu terbarunya itu, Zizan berkata, soalan ini turut diajukan peminat yang ingin melihatnya bekerjasama bersama Mira.

“Sebelum ini saya ada minta pandangan peminat mengenai siapa gerangan sesuai dalam video muzik ini. Rata-rata ramai yang ingin melihat saya dan Mira disatukan. Sekiranya kerjasama ini dapat dibuat, saya tiada masalah bekerja dengan Mira.

“Lagipun, ia hanya untuk hiburan dan saya mengambil kira pendapat semua. Namun, perkara ini masih dalam perbincangan,” katanya.

ZIZAN Razak. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ZIZAN Razak. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

5 juta pengikut di Instagram

Jika tahun lalu pengacara Neelofa meraih lima juta pengikut di Instagram, kini akaun Instagram Zizan pula mencatat jumlah berkenaan.

Ia sekali gus meletakkan Zizan sebagai selebriti lelaki tempatan pertama meraih pengikut seramai itu.

“Media sosial adalah satu medium untuk saya berkongsi segala hal berkaitan kisah kerjaya dan rutin hidup sebagai manusia biasa. Pastinya saya bersyukur dengan sokongan peminat dan percaya ini semua rezeki dan rahmat daripada Allah.

“Terima kasih banyak kepada semua yang tidak putus memberikan saya semangat untuk bekerja keras. Tiada apa yang mampu saya balas melainkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga,” katanya.

Berlakon di Indonesia

Melihat perjalanan seninya yang semakin mewangi, Zizan dilihat semakin aktif melebarkan sayapnya di pasaran Indonesia apabila mendapat tawaran berlakon di sana.

Bakal membintangi drama berjudul Sepenggal Puisi di negara itu, Zizan berkata, dia juga ada menerima beberapa tawaran lain, namun masih belum dapat berkongsi butirannya.

“Proses menembusi pasaran Indonesia masih baru dan saya berusaha mengembangkan lagi bakat di sana.

Pada masa sama, saya berhasrat memperkenalkan lagu kepada peminat di negara jiran, namun saya akui usaha itu bukan mudah kerana pasaran di sana sedikit berbeza.

“Buat masa ini biarlah saya fokus dengan kerjaya lakonan di Indonesia terlebih dahulu. Jika ada rezeki mengembangkan kerjaya nyanyian, saya sentiasa terbuka hati menerimanya,” katanya.

Sepenggal Puisi adalah produksi usaha sama Malaysia dan Indonesia. Karya arahan Jendral Soedirman Viva Westi itu dibintangi pelakon hebat Christine Hakim, Jajang C Noer dan Paramitha Rusady dari Indonesia selain Wan Hanafi Su serta Erma Fatima dari Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 9:00 AM