MIRA jalani rawatan lasik kini tampil lebih elegan dan mempesona.
MIRA jalani rawatan lasik kini tampil lebih elegan dan mempesona.
Sudirman Mohd Tahir


Keputusan menjalani rawatan lasik September tahun lalu memberikan satu nikmat yang tidak ternilai buat pelakon dan pengacara popular Mira Filzah.

Siapa sangka, selepas 11 tahun menggunakan cermin mata, daya penglihatan Mira atau Nur Amirah Filzah Badioezaman, 25,kembali pulih.

Meski perlu berbelanja RM15,000 Mira berasakan rawatan itu berbaloi kerana dia bebas menjalani aktiviti harian berbanding sebelum ini.

Apatah lagi kerjaya sebagai anak seni memerlukan dia sentiasa tampil elegan dan mempesona.

“Saya tidak pernah menjangka pada usia ini mata kembali terang. Tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan itu. Hanya yang melalui pengalaman ini akan faham.

“Kalau dulu saya memakai cermin mata walau ke mana saja. Ibaratnya saya tak boleh hidup tanpa cermin mata.

“Ketika berlakon pula saya mengenakan kanta lekap. Sekiranya tak pakai, saya memang tak nampak,” katanya.

Mira yang juga pengacara program Nona berkata tahap rabun atau kuasa cermin matanya mencecah 425. Selepas menjalani rawatan tahap rabun mata kanan 0 dan kiri jadi 0.25.

“Alhamdulillah, sekarang segala-galanya lebih mudah. Cuma, selepas rawatan ini mata cepat kering. Jadi, saya sukar buat babak menangis.

“Namun, rawatan ini banyak membantu daya penglihatan saya,” katanya.

Fokus kerja

Menyentuh sisi peribadinya, Mira yang dikatakan menjalin hubungan cinta dengan pelawak Zizan Razak mengakui keutamaannya kini adalah kerjaya.

Mira lebih selesa bercakap soal karier berbanding hal peribadi kerana sebagai wanita ia tidak manis dipandang masyarakat.

Mengulas perkara itu, Mira menegaskan status ‘Don’t miss me okay, love?’

sssss yang dimuat naik di Instagram Stories (IG Stories) miliknya minggu lalu bukan ditujukan kepada pelakon Polis Evo itu.

Mira berkata, ia dikongsi secara umum hingga ramai pengikutnya di laman sosial membalas status itu dalam pelbagai bentuk gurauan.

“Status yang saya kongsi itu bersifat umum dan tidak meletakkan nama sesiapa atau ditujukan kepada individu tertentu.

“Ramai juga yang membalasnya dengan kata-kata lucu. Soal Zizan yang dikatakan membalas status saya di laman sosialnya, saya tak boleh komen,” katanya.

Gelagat pasangan itu mencuri perhatian pengikut mereka di laman IG apabila Zizan membalas dengan memuat naik status berbunyi ‘sure i miss you sweet heart’ di IG Stories miliknya.

Ia sekali gus menguatkan lagi gosip di laman sosial mengenai status hubungan mereka.

Difahamkan, status itu dimuat naik ketika Mira mahu berlepas ke Perth, Australia bagi menjalani penggambaran drama Rahsia Hati Perempuan.

Sebelum itu, mereka yang dikatakan mempunyai hubungan istimewa enggan memberi pengesahan sama ada lebih daripada kawan biasa.

Ditanya mengenai perkara itu, Mira mengakui setakat ini dia dan Zizan masih berkawan seperti biasa dan dia selesa dengan jejaka yang disifatkannya sebagai seorang yang baik.

“Tiada apa-apa yang mahu diumumkan mengenai hubungan saya dengan sesiapa memandangkan fokus utama saya kini adalah kerja,” katanya.

Perkembangan lain, Mira sekali lagi dilantik menjadi Ikon Ariani bagi koleksi Ariani Luminous Lebaran 2018.

“Saya anggap ini satu tanggungjawab dan amanah. Dalam pada saya sibuk dengan komitmen lain, pihak mereka masih mempercayai saya mewakili jenama mereka.

“Dalam masa sama, saya menyifatkan ini rezeki. Apatah lagi tahun ini saya memang nekad untuk fokus dalam setiap perkara dilakukan. Saya jenis suka bekerja,” katanya.

Selain Mira, pelakon Bella Dally kekal sebagai duta jenama itu dan Ayda Jebat sebagai ikon bagi tahun ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 1:11 PM