Oleh Michelle Gun


Teka-teki mengenai kewujudan bakal isteri Zizan Razak, 31, akhirnya dijawab pelawak dan pelakon terkenal itu, baru-baru ini.

Sebelum ini, media pernah melaporkan Zizan merancang menamatkan zaman bujangnya dengan wanita pilihan keluarga pada Jun lalu, namun dinafikan pelawak itu.

Menjelaskan perkara itu, Zizan atau nama sebenarnya Razizan Abdul Razak berkata, calon bakal isteri sudah ada, namun memilih untuk merahsiakan identiti wanita terbabit.

“Sebenarnya, saya tidak tahu bagaimana cerita itu boleh timbul dan macam mana menutupnya. Pada saya biarlah cerita itu menjadi tanda persoalan,” katanya.

Zizan berkata, dia akan mendedahkan wanita itu apabila tiba waktu sesuai.

“Ada sesetengah perkara saya tidak boleh dikongsikan kepada umum. Bagaimanapun, saya tidak akan berkahwin secara rahsia dan akan membuat pengumuman nanti.

“Buat masa ini, saya hanya berserahkan jodoh kepada Tuhan untuk menentukan,” kataya.

Bakal muncul dalam filem Polis Evo, Zizan berkata, mendirikan rumah tangga antara impian yang belum dicapainya lagi.

“Saya suka kanak-kanak dan ingin mempunyai keluarga sendiri apabila melihat rakan seperjuangan seperti Johan, Nabil dan Shuib sudah mempunyai anak,” katanya.

Sekadar rakan baik Ummi

Pada sidang media, Zizan turut menjelaskan khabar angin yang mengatakan dia bertemu dan makan di sebuah kedai makan dengan pelakon Ummi Nazeera.

“Memang benar saya keluar dengan Ummi. Kami bukan keluar berdua-duaan, tetapi bersama pembantu peribadi masing-masing,” katanya.

Menurut Zizan, dia mengenali Ummi ketika berlakon dalam telefilem Angin Cinta dan hanya menganggap pelakon itu sebagai rakan baik.

“Ummi seorang yang baik dan menghormati saya. Hubungan kami sekadar sahabat dan tidak lebih daripada itu,” katanya.

Selain memiliki kedai serbaneka 24 jam di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan, Zizan turut mengusahakan perniagaan makanan francais Burgerbyte.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 10:11 AM