EINA Azman dan suami membawa Nurul serta dua anaknya yang mengalami penyakit kulit berjumpa pakar di Subang Jaya, hari ini. FOTO instagram Eina Azman.
EINA Azman dan suami membawa Nurul serta dua anaknya yang mengalami penyakit kulit berjumpa pakar di Subang Jaya, hari ini. FOTO instagram Eina Azman.
Ardini Sophia Sina


PELAKON Datin Eina Azman membawa dua beradik yang menghidap penyakit kulit serius bertemu dengan pakar untuk mendapatkan rawatan lanjut, hari ini.

Eina menerusi Instagram berkata, rawatan berkenaan tidak hanya dijalankan untuk Lela Safiya Azmi, 2, dan Muhammad Nayl Safiy Shahrul Azmi, enam bulan tetapi juga ibu mereka, Nurul Ain Abdullah yang mengalami masalah ekzema sejak remaja.

“Alhamdulillah, hari ini saya dan suami berkesempatan untuk berjumpa dengan keluarga Kak Nurul. Sebentar tadi, Eina bawa Kak Nurul, suami dan dua anak mereka berjumpa dengan pakar kulit di klinik swasta di Subang Jaya.

“Doktor cakap Muhammad dan kakaknya, Lela Safiya boleh pulih, tapi memakan sedikit masa. Kakak Nurul pula mempunyai masalah ekzema. Saya akan minta doktor untuk rawat dia juga,” tulisnya.

Eina atau Ainur Syakina Azman terdetik untuk menghulurkan bantuan kerana memahami masalah dihadapi keluarga Nurul.

Pelakon dan suaminya, Datuk Kaiser Gurmeet Abdullah bercadang memberikan bantuan setiap bulan sehingga anak kepada pasangan itu pulih.

“Saya terdetik untuk membantu kerana saya pun ada anak kecil. Kalau Aubrey dan Karl sakit pun saya akan rasa down dan sedih, inikan pula Kak Nurul. Berat bahu memandang, berat lagi bahu memikul.

“Saya dan suami sedih sangat tengok anak Kak Nurul yang menangis sebab menahan sakit. Insya-Allah, diberi rezeki lebih, saya dan suami akan menghulurkan bantuan setiap bulan kepada mereka sehingga pulih,” kata Eina lagi.

Eina turut menggesa orang ramai agar turut sama menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga Nurul.

Berita berkaitan

'Tidak ku pinta lahir begini...' [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 7:36 PM