Kaiser membuat kejutan kepada Eina.
Kaiser membuat kejutan kepada Eina.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Walaupun kedua-duanya disahkan positif Covid-19, namun suami kepada pelakon, Datin Eina Azman iaitu Datuk Kaiser Gurmeet Abdullah tetap meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ketujuh secara sederhana dengan menghadiahkan kek dan coklat kepada isterinya.

Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 26, berkata, dia berharap orang ramai dapat mendoakan kesembuhan mereka dan dua pembantu rumahnya yang turut dijangkiti virus itu. "Alhamdulillah, walaupun tidak sihat namun sempat juga dia membuat kejutan untuk saya dengan menghadiahkan kek dan coklat sempena ulang tahun perkahwinan kami.

"Tiada apa yang saya inginkan, hanya kesembuhan buat kami sekeluarga. Malah, suami juga memang sangat lemah ketika bergambar kenangan malam tadi.

"Saya mohon untuk doakan kesihatan saya dan suami. Tidak lupa dua orang pembantu rumah kami," katanya.

Menurut Eina, dia bersyukur apabila anak kembarnya tidak dijangkiti virus berkenaan.

"Alhamdulillah, Aubrey dan Karl serta kakak saya negatif," katanya.

Pasangan itu disahkan positif Covid-19 pada hari ulang tahun ketujuh perkahwinan mereka semalam.

Eina melangsungkan perkahwinan dengan Kaiser Gurmeet yang juga ahli perniagaan pada 31 Ogos 2014.

Mereka dikurniakan anak kembar, Arianna Aubrey dan Karl Kareef.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 3:30 PM