Arianna Aubrey dan Karl Kareef
Arianna Aubrey dan Karl Kareef
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon juga model, Datin Paduka Eina Azman, 27, tidak akan menghalang pembabitan anak kembarnya, Arianna Aubrey dan Karl Kareef, 6, untuk menceburi industri hiburan dengan peluang yang dimiliki.

Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman ketika ditemui berkata dia dan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah selesa menjadi ibu bapa yang menyokong minat anak mereka.

"Saya akan menyokong Aubrey dan Karl dalam apa saja minat serta bidang yang ingin mereka ceburi walaupun dalam industri hiburan.  Bagi saya, kalau sudah ada peluang mereka, itu rezeki.

"Apatah lagi, jika mereka ada bakat yang boleh diketengahkan. Macam sekarang, saya lebih banyak memberi mereka pendedahan memasak menerusi video yang dirakam dan dikongsi di Instagram. Alhamdulilah mereka pun suka," katanya.

Eina berkata tujuan dia mendedahkan minat dan hobi memasaknya kepada anak-anak tersayang, bagi mengelakkan mereka daripada leka dengan permainan video di telefon pada sepanjang masa.

"Sekarang banyak sangat 'game' di internet. Jadi, saya tidak mahu mereka leka dengan menghabiskan masa bermain permainan video saja. Lebih baik saya ajak mereka memasak bersama-sama dan mengajarnya, itu lebih bagus.

"Lagi pula, saya yang memasak semua resipi masakan itu dan secara tidak langsung ilmu memasak yang ada diturunkan terus kepada mereka," katanya yang turut mendapat sokongan penuh suami.

Bagi Kaiser pula, dia yakin dengan cara didikan Eina kepada anak-anak dan memberi sepenuh kepercayaan kepada isterinya itu dalam usaha terus menggilap bakat memasak si cilik mereka.

Eina dan Kaiser yang juga ahli perniagaan bernikah pada 31 Ogos 2014. Hasil perkongsian hidup hampir lapan tahun itu, mereka dikurniakan kembar, Aubrey dan Karl, kini berusia enam tahun.

Terdahulu, pasangan kembar comel dan lincah itu dipilih peminat memenangi kategori Si Cilik MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021), baru-baru ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 6:37 PM