Bangkai gajah yang ditemui di Sungai Kinabatangan dipercayai dibunuh oleh pemburu haram sebelum dibuang ke sungai. FOTO Ihsan JHL
Bangkai gajah yang ditemui di Sungai Kinabatangan dipercayai dibunuh oleh pemburu haram sebelum dibuang ke sungai. FOTO Ihsan JHL
Hazsyah Abdul Rahman


SATU daripada dua bangkai gajah Pygmy Borneo yang ditemui di Tawau dan Kinabatangan dipercayai dibunuh pemburu haram.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, kes pertama membabitkan penemuan bangkai anak gajah jantan pada 10 September lalu di kawasan Dumpas, Tawau.

“Ketika ditemui, anak gajah itu masih mempunyai gading serta tiada kecederaan pada luaran tubuh.

“Siasatan masih dilakukan untuk mengenal pasti punca kematian dan kita akan mengambil contoh organ dalaman penting pada anak gajah itu untuk dianalisis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Augustine berkata, bangkai gajah kedua pula ditemui di Sungai Kinabatangan, pada Isnin lalu dan dipercayai dibunuh oleh pemburu haram di kawasan hulu sungai dengan gadingnya dipotong, sebelum bangkai haiwan berkenaan dibuang ke sungai.

"Kami masih menjalankan siasatan termasuk mengesan lokasi sebenar haiwan berkenaan dibunuh.

"Satu-satunya cara untuk tahu di mana ia dibunuh adalah dengan memeriksa sepanjang sungai, namun ia agak sukar kerana jarak sungai yang terlalu panjang. Bagaimanapun, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mencari dan meneruskan penyiasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 12:58 PM