TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra bersama Nasharuddin yang memenangi pingat emas di Gelora Bung Karno Istora. FOTO/BERNAMA
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra bersama Nasharuddin yang memenangi pingat emas di Gelora Bung Karno Istora. FOTO/BERNAMA
BERNAMA

JAKARTA: Kontinjen negara ke Sukan Para Asia 2018 hari ini memecahkan kebuntuan pingat emas menerusi atlet Siti Noor Iasah dan Nasharuddin Mohamed, kedua-duanya dalam acara 400m T20 yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, di sini.

Siti Noor menyumbangkan pingat emas pertama negara dengan catatan masa 00:59.49 saat.

“Alhamdulillah dapat menyumbangkan emas pertama untuk negara,” katanya yang berharap kejayaan tersebut akan menyuntik semangat atlet lain.

Pingat perak acara itu dimenangi pelari Indonesia Sesa Elvin Elhudia dengan catatan 1:01.38s manakala pingat gangsa milik atlet Thailand, Charuswat Sukunya dengan catatan 01:06.14s.

Penguasaan Malaysia dalam acara 400m T20 diteruskan dalam kategori lelaki apabila Nasharuddin Mohamed meraih pingat emas kedua untuk negara dengan catatan 0:49.32s.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik pelari Indonesia Kolymau Felipus dengan catatan 0:50.28s dan Tine Endi Nurdin (0:50.62s).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 5:43 PM