ATLET para negara, Nasharuddin Mohd menggondol pingat emas di Grand Prix Olahraga Para Dunia Dubai. - Foto IHSAN JURULATIH
ATLET para negara, Nasharuddin Mohd menggondol pingat emas di Grand Prix Olahraga Para Dunia Dubai. - Foto IHSAN JURULATIH
Mohd Khairie Khalid


ATLET para negara, Nasharuddin Mohd cemerlang apabila berjaya menggondol pingat emas acara 400m T13/T20 lelaki dengan kepantasan 49.58 saat (s) dalam Kejohanan Olahraga Antarabangsa Fazza ke-10 - Grand Prix Olahraga Para Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Nasharuddin turut membanggakan apabila berjaya memadam rekod Asia pada kejohanan berkenaan. Pingat perak acara ini menjadi milik Johannes Hohl dari Jerman dengan catatan masa 51.95s sementara gangsa milik Shakir Al-Gburi dari Iraq (52.13s).

Sementara itu, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi gagal meraih sebarang pingat dalam acara T36/37/38 apabila menamatkan larian dengan catatan masa 1:01,81 untuk berada di tempat ketujuh.

Begitupun ia adalah penampilan pertama buat Mohamad Ridzuan menerusi acara 400m dalam kelas campuran.

Mengulas mengenai pencapaian itu, jurulatih olahraga para negara, R Jeganathan berkata kejohanan berkenaan adalah salah satu medan bagi menguji prestasi terkini atletnya di rantau Asia.

“Kejohanan ini sebagai satu latihan untuk menghadapi temasya Sukan Para Asia di Indonesia pada Oktober ini selain peluang memantau perkembangan prestasi atlet di Asia Barat.

“Amat penting juga mengetahui prestasi semasa atlet di rantau Asia kerana ia sebagai salah satu persiapan buat Nasharuddin untuk kejohanan pada masa depan.

"Bagi saya banyak kerja keras perlu dilakukan untuk mengekalkan prestasinya (Nasharuddin),” kata Jeganathan yang memaklumkan atlet itu memadamkan rekod Asia lama miliknya ketika dicipta di Grand Prix Dunia IPC di Eropah tahun lalu ketika dihubungi, hari ini.

 GP Olahraga Para Dunia Dubai yang berlangsung selama empat hari bermula pada Selasa dijadualkan tamat esok (Jumaat).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 9:30 PM