AMELINA dan Mya.
AMELINA dan Mya.
Rudy Imran Shamsudin


Menjadi selebriti dan memegang status janda dan ibu tunggal, ada tertib yang perlu dijaga bagi mengelak dikaitkan dengan perkara yang boleh menimbulkan fitnah dan memberi implikasi buruk pada imej.

Dua sahabat ini, Mya dan Amelina begitu menjaga perkara ini hingga berjaya menangkis segala cerita buruk yang boleh merosakkan reputasi mereka dalam industri seni.

Dipertemukan dalam satu sesi fotografi Selebriti baru-baru ini, mereka akui begitu menjaga perihal peribadi dan ingat apa tujuan sebenar mereka setiap kali beraksi di pentas.

Amelina yang mengesahkan bercerai secara rasmi akhir tahun lalu menegaskan, memenuhi tanggung jawab untuk membesarkan enam anak berusia tujuh hingga 15 tahun membuatkan dia tidak punya masa untuk memikirkan perkara lain yang boleh membawanya kepada perkara yang boleh menimbulkan fitnah.

Katanya, dia tahu masyarakat mempunyai pandangan tabu terhadap mereka yang bergelar janda dengan menganggap mereka gedik dan liar.

“Saya sendiri sudah melalui zaman muda dan sudah merasai segalanya. Dalam hidup saya sekarang tiada apa yang mahu dikejar termasuk soal teman hidup. Pada saya sekarang, apa yang perlu didahulukan adalah masa depan anak-anak.

“Tidak dinafikan apabila saya menjadi penyanyi dangdut, umum sering menimbulkan persepsi yang negatif. Tapi percayalah apa yang anda lihat di pentas itu adalah tanggungjawab saya sebagai penyanyi untuk menghiburkan tetamu.

“Bagaimanapun dengan status saya sekarang, pastinya apa yang saya lakukan di pentas itu ada hadnya,” katanya.

Apa pun kata Amelina, hidup yang dijalani sekarang dirasakan jauh lebih baik berbanding zaman sewaktu anak dara dulu.

“Kalau orang kata apabila saya bergelar janda dan hidup solo membuatkan saya bebas, mereka silap. Rutin saya sebagai ibu anak enam sangat terbatas tapi saya bersyukur kerana mereka menjadi faktor pengikat untuk saya sedar akan tanggungjawab.

“Dulu masa solo, kalau habis persembahan saya masih punya masa untuk makan dan lepak tapi sekarang habis saja persembahan saya terus pulang ke rumah,” katanya.

Amelina akui lewat bagaimanapun persembahan selesai, dia akan pulang ke rumah walaupun pihak penganjur menyediakan bilik kerana harus menyediakan keperluan anak.

“Contohnya baru-baru ini apabila pulang lewat selepas persembahan kira-kira jam dua pagi baru sampai rumah, lelap mata sekejap jam lima pagi anak sudah bangun. Saya harus membantu mereka membuat persiapan ke sekolah,” katanya.

Bergelar ibu tunggal membuatkan Amelina perlu menjaga tingkah laku. Pengalaman hidup dilalui menjadikan dia lebih matang dan menjadi insan lebih baik.

Selepas berpisah dengan suami dan membuat kemunculan semua, Amelina atau Norazlina Amir Sharipuddin, 41, akui tidak pernah meletakkan sasaran tinggi untuk berada di puncak seperti mana status dimiliki di zaman kegemilangan dan kegilaan peminat terhadap muzik dangdut dulu.

“Saya menyanyi kembali semata-mata mahu mencari duit dan membesarkan anak-anak. Membuat kemunculan semula juga berupa satu pertaruhan buat diri saya secara peribadi sebagai penyanyi.

“Muncul dengan single terbaru Cinta Harus Seksi juga peluang untuk memberitahu kepada umum yang saya kembali aktif. Andai saya tidak kembali dengan lagu baru, bimbang kerjaya tidak ke mana,” katanya.

Amelina bersyukur sejak membuat kemunculan semula kerana niat untuk menyara anak-anak membuatkan rezekinya murah dan sentiasa ada tawaran mengadakan persembahan.

Antaranya Konsert Dangdut Megastar 2017 pada 14 Oktober dan Irama Dangdut Nite 2017 pula pada malam ini di Intekma Resort, Shah Alam bersama Rizal Ayub, Aisyah Bujang, Maya DFKL, Nas Kilauan Emas dan DJ Shila.

“Peminat masih mahukan saya menyanyikan lagu-lagu popular sebelum ini seperti Asyik, Yang Indah Yang Hangat dan Rindu apabila setiap kali membuat persembahan.

“Begitupun, saya perlu menghasilkan lagu baru buat peminat. Kali ini saya mahu menghasilkan lagu dangdut seperti mana saya muncul dulu dengan tiga album solo.

“Cuma masalah saya sekarang mencari penyusun muzik untuk lagu-lagu saya kerana mereka yang menghasilkan susunan muzik untuk lagu dan album saya ramai yang sudah tiada dan tidak dapat dikesan,” katanya.

Artis lama masih ada tempat

Bagi Mya yang lebih dikenali dengan panggilan Maya Matahari, apabila bergelar janda dia sebaik mungkin cuba mengehadkan pergaulan dan tidak bersikap terlalu terbuka mengenai kehidupan peribadinya kepada umum.

Mya akui sebenarnya status hanya sekadar status kerana ada yang tidak perasan dan tahu yang dia sudah kembali hidup sendiri.

“Saya bertuah dari sudut itu dan orang terus-terus ingat saya Maya Matahari di zaman saya muda. Bagaimanapun, ada juga pihak yang cuba mengambil kesempatan apabila mengetahui yang saya kini berstatus janda.

“Disebabkan perkara seperti itulah saya sangat berhati-hati dalam memilih kawan. Kalau tidak ada kerja penting, saya lebih senang duduk di rumah hanya sesekali saja keluar untuk bertemu kawan.

“Macam saya dan Amelina, walaupun kami rapat tetapi bukan selalu kami dapat berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan kerja dan punya tanggungjawab sendiri. Kalau sudah terlalu lama tidak bertemu, barulah kami buat temu janji untuk berjumpa,” katanya.

Mengenai kerja seni dan berdepan dengan persaingan daripada penyanyi baru dan jauh lebih muda, Mya atau Mayanaliza Rusli, 40, menerima kehadiran bintang baru dengan tangan terbuka.

Katanya, dia sendiri sudah merasainya apabila muncul dengan lagu Matahari di awal kemunculan dan penyanyi senior menerimanya dengan baik serta berkongsi pengalaman.

“Kerjaya nyanyian tetap berjalan seperti biasa. Walaupun sekarang kalau dilihat penyanyi baru lebih menonjol tetapi orang lama seperti saya masih punya tempat dan peluang.

“Sekarang saya bernaung di bawah syarikat rakaman Indigital Sdn Bhd dan lagu terbaru saya kini menjalani proses rakaman. Ia berupa kesinambungan kepada lagu Matahari yang memperkenalkan nama saya dalam industri muzik tempatan.

“Lagu baru ini ciptaan Tam Spider dan saya sendiri sukakan lagu itu kerana lebih segar dan terkini. Ia masih mengekalkan konsep pop dengan irama rancak,” katanya.

Mya akui impiannya kini mahu mencari peminat baru dan muda menerusi lagu baru yang dihasilkan. Andai tiada aral, ia akan mula diperdengarkan kepada peminat pada akhir tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 5:58 AM