MOHAMAD Haziq (gambar kecil) antara dua remaja yang maut ditimbus. FOTO Azahar Hashim/ihsan Polis
MOHAMAD Haziq (gambar kecil) antara dua remaja yang maut ditimbus. FOTO Azahar Hashim/ihsan Polis
Muhaamad Hafisd Nawawi dan Azhar Hashim


“ANAK saya sempat selamatkan kucing kemalangan yang sudah nyawa-nyawa ikan dan membawanya pulang ke gerai kami untuk merawatnya sebelum dia sendiri tertimbus."

Itu kata Zuhainun Salim, 54, ibu kepada Mohamad Haziq Ishak, 17, yang meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bersama rakannya, Muhammad Haikal Hakimi Mohd Noor, 17, terjatuh ke dalam lubang mendapan tanah sebelum mereka ditimbus runtuhan jalan di Jalan Taman Serdang, Bandar Baharu, malam tadi.

Mohamad Haziq yang disifatkan sebagai prihatin sebelum itu, sempat menabur bakti terakhirnya menyelamatkan kucing yang ditemuinya di simpang empat pekan Serdang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan selepas dilanggar kenderaan.

Zuhainun berkata, anaknya menemui kucing itu kira-kira jam 9 malam sebelum dibawa pulang ke gerai keropok lekor mereka untuk dirawat serta turut memberi minuman kepada haiwan itu.

"Haziq kemudian memberitahu saya dia akan merawat kucing itu, namun jika haiwan itu mati, dia sendiri akan menanamnya sebelum dia keluar semula selepas dijemput rakannya.

"Anak saya memang seorang yang prihatin dan peramah sebab itu dia ingin benar menolong kucing itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Leret A, Serdang, Bandar Baharu, hari ini.

Menurutnya, itulah kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya sebelum menerima mesej daripada kawan anaknya memberitahu Haziq terjatuh ke dalam mendapan tanah.

"Saya kemudian terus bergegas ke lokasi kejadian dan ketika itu mayat pertama (Muhammad Haikal) sudah ditemui dan terdetik di hati jika betul mayat di dalam timbusan tanah itu adalah Haziq maka saya reda.

"Tidak lama kemudian mayat anak saya ditemui selepas baju sejuknya kelihatan ketika anggota penyelamat membawanya keluar malah ketika itu dia masih memakai topi keledar," katanya.

Sementara itu, Norihan Che Doh, 40, ibu kepada Muhammad Haikal pula berkata, anaknya itu memang menunjukkan perubahan pelik apabila membasuh baju sekolah, periuk nasi dan bekas makanannya.

"Sebelum ini anak saya jarang berbuat demikian namun petang itu selepas pulang dari kerja, saya pelik melihat dia sudah membasuh baju sekolah, periuk dan bekas makanan ayam masak pedas.

"Namun saya tidak mengesyaki apa-apa malah petang itu pun dia sempat meminjam wang RM3 untuk ke pasar malam dan selepas Maghrib saya menyuruhnya mengaji al-Quran di rumah guru mengaji namun dia pulang semula kerana memberitahu rumah guru terbabit tiada orang," katanya.

Norihan berkata, tidak lama kemudian anaknya meminta izin untuk keluar ke kedai di pekan Serdang dan meminta wang tunai RM3 serta berjanji akan pulang awal.

"Anak saya memang selalu pergi ke kedai itu malah saya juga kebiasaannya akan menghantar WhatsApp bertanya dia di mana, namun malam tadi akibat keletihan saya terlelap dan terlupa menghantar pesanan WhatsApp kepadanya.

"Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas diberitahu kakak ipar dan terus bergegas ke sana," katanya yang tidak dapat menahan sebak dan menangis.

Terdahulu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail turut melawat lokasi kejadian dan menziarahi dua keluarga mangsa sebelum menyampaikan sumbangan.

Saifuddin berkata, kejadian itu menyebabkan laluan dari pekan Serdang ke beberapa taman perumahan terputus perhubungan membabitkan anggaran 1,000 rumah.

"Bagaimanapun masih ada laluan alternatif, cuma sedikit jauh jaraknya kerana laluan sekarang ini tidak boleh dilalui lagi buat masa ini.

"Saya juga sudah diberi taklimat oleh pegawai daerah, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu dan jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkaitan kejadian ini di mana usia jambatan ini juga agak lama," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan keselamatan dikeluarkan pihak berkuasa dan pihaknya akan usaha yang terbaik untuk mempercepatkan pembaikan tanah mendap ini.

Berita berkaitan:

Dua remaja maut ditimbus [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 1:44 PM