SITI Mashitoh memasukkan susu formula khas melalui tiub untuk  Nur Fatin Amira.
SITI Mashitoh memasukkan susu formula khas melalui tiub untuk Nur Fatin Amira.
Zuliaty Zulkiffli


“ANAK saya sebelum ini ceria namun hidupnya berubah sejak enam tahun lalu apabila disahkan menghidap penyakit kronik saraf menyebabkan dia tidak dapat bergerak dan terlantar di atas katil,” kata Siti Mashitoh Harun, 34.

Siti Mashitoh berkata, kejadian berlaku ketika anak sulungnya, Nur Fatin Amira Mohd Fauzi, 13, bersekolah di tahun satu bergurau dengan rakannya di sekolah menyebabkan anaknya terhempas jatuh ke lantai.

Katanya, walaupun kecederaan tidak nampak di bahagian luaran tetapi di bahagian dalamannya parah sehingga anak sulung daripada dua beradik itu pengsan ketika pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Nyamuk, di sini.

“Kami bergegas membawanya ke Hospital Kuala Nerang kerana Amira tidak sedarkan diri, namun pihak hospital menghantarnya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar kerana keadaannya parah ketika itu.

“Ketika itu, anak saya berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan ketika dibawa menaiki ambulans, malah oksigennya juga semakin habis namun bernasib baik kerana sampai cepat di hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Siti Mashitoh berkata, anaknya terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku di kepalanya dan terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSB selama tiga bulan.

Katanya, ketika itu anaknya koma sebulan dan sepanjang tempoh itu hanya boleh menggerakkan matanya.

“Sekarang anak saya hanya terlantar di atas katil dan tangan, kaki serta badannya mengecil dan kelihatan seperti bayi.

“Dia hanya minum susu khas melalui tiub selain bijirin halus serta menggunakan lampin pakai buang setiap hari dan jumlah keseluruhan perbelanjaan untuk Amira setiap bulan kira-kira RM800,” katanya.

Siti Mashitoh berkata, dia hanya mengambil upah membungkus kerepek dengan upah sekitar RM120 seminggu manakala suaminya, Mohd Fauzi Megat, 35, pula bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan tidak menentu.

Katanya, setakat ini anaknya menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan dan digunakan sepenuhnya untuk kos berulang alik ke HSB di Alor Setar dan HKN setiap dua kali seminggu.

“Saya tinggal di rumah ini bersama emak, Hatijah Abu, 64, dan ayah, Harun Din, 61, yang mempunyai penyakit sawan menyebabkan dia tidak dapat menoreh getah,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun 2-005061000129167 Agro Bank atau menghubungi talian 014-9745401.

Sementara itu, Pengerusi Sahabat Charity Balqish, Rukiza Abu Bakar turut menyampaikan barangan keperluan dapur untuk membantu keluarga itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 8:02 AM