Polis buru pemandu teksi cuba samun dan rogol penumpang.
Polis buru pemandu teksi cuba samun dan rogol penumpang.
Syazwan Msar

SEORANG wanita menempuh detik cemas apabila hampir disamun dan diperkosa seorang pemandu teksi.

Kejadian berlaku jam 5 petang kelmarin ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kondominium Jalan Bukit Prima Pelangi, Segambut, di sini.

Difahamkan mangsa berusia 42 tahun menggunakan khidmat teksi Proton Persona dipandu seorang lelaki selepas kenderaan itu ditahan di Plaza Mont Kiara, di sini, untuk pulang ke rumahnya.

Pemandu teksi itu bagaimanapun secara mendadak meminta mangsa menyerahkan semua barangan berharga dibawa.

Mangsa yang enggan akur cuba melawan suspek berusia lingkungan 40-an selepas diacukan pisau.

Pemandu teksi itu menggugut mahu merogol mangsa jika melawan menyebabkan pergelutan berlaku.

Mangsa berjaya berlari keluar dari dalam teksi itu sebelum meminta bantuan daripada orang ramai.

Suspek bagaimanapun terus melarikan diri meninggalkan mangsa yang mengalami cedera ringan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan bagi memberkas suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 7:53 PM