Oleh Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Seorang penjenayah cedera di lengan kiri terkena tembakan dilepaskan anggota polis yang mengejar mereka dari Chow Kit sebelum dia dan dua rakannya ditahan di Jalan Kuching berhampiran Bulatan Segambut, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, suspek yang menaiki kereta Proton Saga BLM itu memecut kenderaannya apabila terserempak dengan sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di belakang Balai Polis Chow Kit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, anggota polis mengejar kereta suspek dan meminta mereka berhenti ketika berada di Jalan Raja Laut tetapi suspek enggan menyebabkan kenderaan itu merempuh beberapa kenderaan awam.

"Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah kereta suspek.

"Suspek berusia 25 hingga 33 tahun dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau manakala seorang lagi adalah anggota tentera yang lari tugas," katanya.

Menurutnya, polis merampas satu gari, wang palsu, alatan menghisap dadah dan sedikit dadah jenis syabu dan mesin pencetak wang palsu bersama segumpal wang kertas dipercayai wang palsu yang dipotong dalam bonet kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 4:28 PM