HALIM  (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada keluarga memerlukan.
HALIM (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada keluarga memerlukan.
HALIM  bersama bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (kanan) bersama masyarakat dalam program cegah jenayah.
HALIM bersama bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (kanan) bersama masyarakat dalam program cegah jenayah.
Mohd Firdaus Ibrahim


Kuala Lumpur: Beliau memainkan peranan penting ketika siri rundingan bagi menyelamatkan empat kelasi rakyat Malaysia yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf pada 2016.

Menceritakan detik itu, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak yang juga bekas anggota Komando 69 (VAT69) berkata, dia didatangi keluarga mangsa merayu bantuan dan kepakarannya bagi menyelesaikan kes penculikan berkenaan.

“Saya ambil inisiatif segera dengan berjumpa Pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Prof Nur Misuari bagi mendapatkan bantuan mengesan lokasi mangsa disembunyikan.

“Usaha itu merintis laluan sehingga membebaskan mangsa daripada kumpulan militan Abu Sayyaf dikenali sebagai Lucky 9 Group,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mengharapkan sebarang imbuhan atau pujian daripada mana-mana pihak berhubung kejayaannya berunding dengan kumpulan pengganas itu.

“Saya lakukannya ikhlas demi negara. Memang diakui ia satu rundingan yang berisiko meragut nyawa tetapi ia juga pengalaman cukup bermakna buat diri saya,” katanya.

Menurutnya, beliau kini meneruskan khidmatnya dalam memupuk perpaduan dan keamanan negara dengan menggerakkan pelbagai program kemasyarakatan, pencegahan jenayah serta pembanterasan rasuah menerusi MCCF.

Selain itu, katanya, dia dan sukarelawan MCCF turut terbabit dalam proses pengumpulan data pendatang asing di Malaysia.

“Ini penting kerana data itu dapat digunakan kerajaan bagi mengekang masalah jenayah dan gejala sosial membabitkan warga asing.

“Kami tawarkan khidmat (data) kepada kerajaan kerana tidak mahu masalah kebanjiran warga asing berleluasa hingga menggugat keselamatan negara.

“MCCF juga terus komited bersama agensi penguatkuasaan dalam memerangi penyeludupan migran dan pemerdagangan orang,” katanya.

Halim berkata, dia meminta penuntut universiti dan belia tampil mendaftarkan diri sebagai sukarelawan MCCF.

“Semua aktiviti dilakukan MCCF akan kita babitkan golongan belia. Mereka adalah individu yang bakal memimpin negara pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 9:49 AM