DUTERTE
DUTERTE
AFP

Manila: Presiden Filipina Rodrigo Duterte semalam menyuarakan hasratnya menemui pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari, malah berjanji ‘menutup mata’ berhubung waran tangkap terhadap pemimpin itu demi membincangkan keamanan.

Pengumuman itu cubaan dramatik terbaru pemimpin lantang berkenaan mengakhiri perjuangan pemisah sejak berdekad-dekad lalu dengan kumpulan Muslim serta komunis yang sehingga kini meragut lebih 150,000 nyawa.

Duterte berkata, dia berbual dengan Nur Misuari kelmarin.

“Saya memberitahunya, ‘Nur, saya tidak berhasrat menangkap kamu atau meletakkan kamu dalam tahanan pihak berkuasa. Kamu boleh keluar ke sini, malah minta saja pengiring polis atau askar untuk membawa kamu ke satu tempat untuk kita berbincang’,” kata Duterte kepada pemberita.

Duterte, 71, menawarkan untuk menemui Nur Misuari, 77, di kubu pemimpin pemisah itu di Jolo, selatan Filipina, atau istana presiden di Manila.

Bagaimanapun, katanya, Nur Misuari menyuarakan lebih selesa bertemu di Malaysia bersama wakil Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), tetapi berjanji tidak memanjangkan proses rundingan damai.

“Katanya, kita boleh mencapai persetujuan selepas hanya dua hari untuk menamatkan pertelingkahan,” katanya.

Kerajaan pimpinan Benigno Aquino sebelumnya memfailkan tuduhan pemberontakan terhadap Nur Misuari kerana didakwa merancang serangan di Zamboanga, selatan Filipina, pada 2013 yang mengakibatkan lebih 200 kematian.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara minimum 30 tahun. Nur Misuari bagaimanapun berjaya mengelak tangkapan dengan mendapat perlindungan daripada kumpulannya di Jolo yang juga pangkalan kumpulan militan Abu Sayyaf.

Nur Misuari mengasaskan MNLF pada 1969 untuk memperjuangkan negeri Islam berasingan di selatan Filipina, yang menjadi lokasi kebanyakan golongan minoriti Islam negara itu.

Dia menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pada 1996 untuk membolehkan penubuhan kawasan berautonomi Muslim di situ.

Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) kemudian meneruskan perjuangan berkenaan, tetapi sejak beberapa tahun lalu turut memulakan rundingan damai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 10:15 AM