HALIM bersama Nur Misuari ketika berunding membebaskan empat rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf.
HALIM bersama Nur Misuari ketika berunding membebaskan empat rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sudah enam tahun berlalu, barangkali ramai yang sudah lupa insiden empat rakyat Malaysia diculik kumpulan Abu Sayyaf diculik di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna sebelum mereka berjaya dibebaskan.

Pada 1 April 2016, negara dipalit dengan peristiwa hitam itu apabila adik-beradik Wong Teck Kang, 31, Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21, dan seorang lagi anak kapal bot tunda, Wong Hung Sing, 34, diculik di perairan berkenaan.

Bagaimanapun, ada seorang wira yang juga bekas anggota komando 69 (VAT 69) menjadi perintis di sebalik usaha pembebasan itu, dalam memastikan misi menyelamatkan tebusan terbabit berjaya tanpa pertumpahan darah.

Individu dimaksudkan itu adalah Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak yang menjadi orang penting dalam merintis jalan kepada misi pembebasan keempat-empat tebusan berkenaan.

Halim berpegang kepada prinsip menyelamat tanpa pertumpahan darah apabila berunding dengan Pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Prof Nur Misuari ketika itu untuk mengesan lokasi tebusan yang diculik itu.

"MNLF pada April 2016 menjemput saya bagi membincangkan isu terbabit malah sebelum ke sana, saya menghubungi Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan menyatakan hasrat saya hendak ke sana.

"Selepas mendapat kebenaran itu, saya bertemu Nur Misuari, ia sekali gus memberi peluang kepada saya membantu membebaskan tebusan berkenaan," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Halim mengakui, tugas itu bukan mudah, namun dia bersyukur rundingan dengan Nur Misuari mencapai kesepakatan dan dipermudahkan dengan bantuan MNLF.

"Saya cakap saya hormati Nur Misuari (ketika pertemuan itu), saya mengharapkan kerjasama semua jeneral dan komander (MNLF) yang ada. Alhamdulillah semua jeneral dan komander berlapang dada dan nak membantu.

HALIM ketika misi menyelamat empat rakyat Malaysia diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Pulau Ligitan.
HALIM ketika misi menyelamat empat rakyat Malaysia diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Pulau Ligitan.

"Empat komander bersama 80 keanggotaan (MNLF) dilantik untuk menyertai misi rundingan dengan kumpulan Abu Sayyaf ," katanya yang juga antara rakyat Malaysia pertama yang dibenarkan masuk ke kem Mount Top Command Base MNLF di Banud Indanan, Kepulauan Jolo, Filipina.

Menceritakan lanjut, Halim berkata, MNLF ketika itu meminta masa tujuh ke 10 hari untuk menyelesaikan rundingan dengan kumpulan penculik.

Menurutnya, Nur Misuari kemudian mengeluarkan amaran kepada penculik jika semua mangsa tidak dibebaskan, mereka dan keluarga masing-masing akan dibunuh.

"Amaran itu sekali gus menyebabkan kumpulan Abu Sayyaf terbabit menyerahkan tebusan kepada MNLF dan mereka mendapat pengampunan daripada pemimpin itu.

"Sehari kemudian, saya dipanggil Nur Misuari ke pondok beliau dan memaklumkan semua tebusan rakyat Malaysia sudah dibebaskan dan dihantar ke Pulau Bungao (di Filipina) untuk di serahkan kepada pihak berkuasa Malaysia," katanya.

Walaupun rundingan itu berjaya, dalam masa sama beliau tidak menafikan tetap ada risiko yang terpaksa dihadapi dan terpaksa menggunakan pelbagai tipu helah serta penyamaran demi memastikan keselamatan diri.

Perjalanan menggunakan tiga lapangan terbang, menaiki kapal laut selama 12 jam yang sarat dengan ratusan penumpang, lori yang amat buruk sebelum berjalan kaki selama 35 minit ke tempat pertemuan di kem berkenaan.

Malah, ada berlaku peristiwa tembak-menembak ketika beliau turun dari kapal dan berjalan di jeti menghala ke arah pasar ikan.

"Ketika saya nak balik pula, Pengarang buku La Tahzan pun kena tembak. Saya berada 300 meter dari kawasan kejadian," cerita Halim.

Beliau berharap, perkongsian pengalaman menyelamatkan tebusan ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat patriotik dan cintakan negara ini, terutama kepada generasi muda.

Beliau juga mahu bekas dan pesara polis serta tentera terus menceritakan perjuangan mereka kepada anak muda supaya golongan itu dapat memahami kemakmuran dan keamanan yang dikecapi negara ketika ini adalah hasil pengorbanan wira terdahulu sebelum negara ini mencapai kemerdekaan lagi.

"Cuma saya berharap masyarakat menghormati perjuangan dan pengorbanan polis dan tentera. Jaga keharmonian dan kemakmuran negara ini serta menghormati agama dan budaya sesama kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 7:10 AM