RETNO bercakap kepada wartawan selepas menyambut kepulangan empat kru kapal Indonesia (belakang) yang dibebaskan Abu Sayyaf, di Jakarta, semalam.
RETNO bercakap kepada wartawan selepas menyambut kepulangan empat kru kapal Indonesia (belakang) yang dibebaskan Abu Sayyaf, di Jakarta, semalam.
Agensi

Jakarta: Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla kelmarin menafikan satu laporan yang mendakwa kerajaan membayar wang tebusan untuk membebaskan empat kru kapal negara itu yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

“Sudah pasti kerajaan tidak melakukan perkara itu (bayar wang tebusan),” katanya.

Empat anak kapal itu dibebaskan pada Rabu lalu selepas hampir sebulan menjadi tebusan militan Abu Sayyaf.

Semua mereka diculik selepas kapal tunda mereka dipintas militan Abu Sayyaf di perairan Filipina-Malaysia pada pertengahan bulan lalu.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang mengumumkan pembebasan mangsa memberitahu, pertemuan wakil dari Malaysia, Indonesia dan Filipina bagi meningkatkan keselamatan di kawasan sempadan antara faktor membantu membebaskan tebusan berkenaan.

Bagaimanapun, satu laporan akhbar yang memetik sumber memberitahu, pembebasan kru kapal berkenaan membabitkan bayaran wang tebusan.

Menurut sumber, semua mangsa dibebaskan selepas wang tebusan berjumlah AS$2.15 juta (RM8.47 juta) dibayar oleh majikan anak kapal berkenaan.

Pada awal bulan ini, kumpulan Abu Sayyaf turut membebaskan 10 anak kapal warga Indonesia yang ditawan mereka.

Militan Abu Sayyaf kini masih menahan beberapa lagi tebusan warga asing termasuk dari Norway, Kanada dan Malaysia.

Kumpulan berkenaan jarang membebaskan mangsa mereka melainkan wang tebusan di bayar.

Sementara itu, empat anak kapal berkenaan selamat tiba di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di sini pada pagi semalam dan disambut Menteri Luar, Retno Marsudi.

Kementerian Luar berkata, semua kru kapal berkenaan dibawa ke Hospital Tentera Gatot Subroto untuk pemeriksaan keselamatan sebelum kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 5:08 AM