GOMBAK 03 SEPTEMBER 2019. (UNTUK HAFIS HM) Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak. NSTP/ASYRAF HAMZAH
GOMBAK 03 SEPTEMBER 2019. (UNTUK HAFIS HM) Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Skuad Khas Harian Metro


KEWUJUDAN koloni warga asing di Malaysia disebabkan segelintir masyarakat termasuk petugas agensi penguatkuasaan melindungi mereka.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, tanpa perlindungan warga tempatan dan petugas agensi penguatkuasaan masalah berkenaan tidak menjadi serius seperti sekarang.

“Tanpa perlindungan pihak tertentu, mustahil mereka (warga asing) boleh menjalankan perniagaan haram di bumi Malaysia. Pertama, lesen kedai runcit mereka gunakan siapa punya, warga tempatan.

“Itu perniagaan sah, bagaimana pula premis pelacuran yang dikendalikan mereka, apa pihak berkuasa tempatan (PBT) buat, tengok sahaja? Ataupun anda menerima habuan,” katanya ketika mengulas mengenai penahanan 122 warga tempatan yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran.

Harian Metro melaporkan 122 warga tempatan sanggup mengkhianati negara apabila menjadi dalang atau menganggotai sindiket penyeludupan migran.

Menurut Halim, disebabkan ketiadaan integriti segelintir petugas agensi penguatkuasaan ini kewujudan koloni warga asing terus berleluasa.

“Hentikanlah, jangan jadi pengkhianat negara. Kerajaan juga perlu melihat perkara ini dengan serius termasuk mengembleng semua pihak untuk membanterasnya,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, Halim turut menyarankan supaya, kerajaan menghentikan pengambilan tenaga kerja warga asing sementara, namun memaksimakan penggunaan migran yang sudah berada di negara ini kecuali sektor kritikal tertentu.

Katanya, lambakan migran juga boleh menyebabkan kembalinya penularan penyakit serius di negara ini.

“Dulu di Malaysia, penyakit tibi dah tiada kenapa sekarang boleh tular balik? Ini dibawa migran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 5:15 AM