Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI era 1980-an, Ben Nathan menyatakan hasrat untuk berkahwin sempena ulang tahun ke-56, hari ini.

Ben ceria bersama DJ Dave dan ahli keluarganya. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Ben ceria bersama DJ Dave dan ahli keluarganya. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN

Ben yang popular menerusi lagu Stanza Sepi Sekeping Hati berkata, dia ingin mencari wanita sebaya dengan dan boleh menerima dirinya seadanya.

“Selain ingin memulakan kehidupan baru, saya juga mahu berkahwin. Malah mak saya juga cakap kena kahwin cepat. Jadi ada orang yang boleh jaga saya selepas ini.

“Saya tidak mahu terlalu memilih, asalkan wanita berkenaan sesuai dan boleh terima saya seadanya. Paling penting dia kena faham kerjaya saya sebagai penyanyi dan tidak boleh cemburu,” katanya kepada Harian Metro.

Ben yang sebelum ini hidup sebagai gelandangan selama 24 tahun tidak menolak jodoh dalam kalangan peminatnya. Malah Ben percaya itu semua jodoh dan ketentuan Allah SWT.

Dalam masa sama, Ben atau nama Islamnya Ben Adam tidak sabar untuk merakamkan lagu baru hasil ciptaan komposer Indonesia.

Ben ditemui di pejabat Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M), Kuala Lumpur berkata, dia menyukai lagu itu dan berharap peminat boleh menerima kemunculannnya semula dalam bidang seni.

“Saya suka lagu ini. Walaupun sudah lama tidak menyanyi tapi saya yakin boleh beri yang terbaik. Cuma saya perlu banyak latihan dan senaman bagi mendapatkan stamina.

“Saya gembira apabila Datuk DJ Dave memaklumkan lagu sudah siap dan boleh dirakam bila-bila masa saja. Sejujurnya, saya sudah tidak sabar untuk menghiburkan peminat. Jadi, tunggu kemunculan lagu baru ini,” katanya.

Tahun lalu, akhbar ini berjaya menjejaki Ben selepas video nyanyiannya tular di laman sosial.

Ketika itu Ben kerap dilihat di sekitar Jalan Travers, Pasar Seni dan Brickfields sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pemeriksaan lanjut atas usaha presiden YA1M, Datuk DJ Dave.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 8:51 PM
Ben Nathan dicium ibunya Vasanthi Perumal selepas majlis menyambut hari lahir ke-56. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Ben Nathan dicium ibunya Vasanthi Perumal selepas majlis menyambut hari lahir ke-56. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN