MUNCUL dengan single baharu, Kebahagiaanmu.
MUNCUL dengan single baharu, Kebahagiaanmu.
Norhayati Nordin

Tempoh 25 tahun tidak merakamkan lagu dan menghilang dari radar industri hiburan ibarat 'jubli perak' buat penyanyi era 1980-an yang popular dengan lagu Stanza Sepi Sekeping Hati, Ben Nathan, 62.

Peluang rezeki untuk anak ketujuh daripada 11 beradik ini mewarnai semula bidang muzik tanah air yang pernah ditinggalkannya dulu masih bersinar dengan kehadiran single terbaharu, Kebahagiaanmu ketika ini.

Penghasilan lagu ciptaan komposer dari Indonesia itu umpama merealisasikan impian Ben yang pernah menjadi gelandangan sebelum ini untuk bekerjasama dengan penggiat seni di negara jiran berkenaan.

Ben berkata, dia tidak pernah melupakan nyanyian dan sentiasa merinduinya. Namun, tekanan yang dihadapi akibat masalah peribadi iaitu gagal dalam percintaan dan menjadi mangsa penipuan individu dikenali membuatnya 'jatuh terduduk'.

"Saya suka menyanyi kerana saya ini 'star' (bintang), ada peminat. Jadi, saya amat gembira dengan hadirnya lagu Kebahagiaanmu. Saya suka pada lagu ini kerana melodi dan liriknya senang diingati serta sedap didengar.

"Empat jam saya masuk studio untuk merakamkannya dan terima kasih kepada Datuk DJ Dave yang banyak membantu saya untuk kembali menyanyi semula buat peminat-peminat saya," katanya.

Ditanya juga cabaran dilaluinya, Ben berkata, dia terlebih dulu mendapatkan latihan vokal selama enam bulan di bawah bimbingan DJ Dave yang tidak pernah jemu menolak dirinya agar sentiasa berusaha menyanyi semula.

"Apabila sudah lama tidak menyanyi, vokal saya memang tak boleh nak menyanyi lagi dan DJ Dave terus memaksa saya untuk kuatkan semangat berusaha serta rajin buat latihan. Jadi, saya kuatkan hati mencuba.

"Selain itu, keluarga juga seperti emak dan adik-beradik banyak mendoakan saya. Kasih sayang mereka, buat saya bangkit pada hari ini dan dapat melancarkan single Kebahagiaanmu," katanya.

Mengakui dia amat sayangkan DJ Dave yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Ben berkata, mereka sudah kenal lama dan berkawan baik sejak aktif dalam karier nyanyian masing-masing.

"Dia (DJ Dave) orang yang sangat baik kepada saya, banyak bantu saya dan amat sayang padanya. Malah, saya gembira masih ada peminat-peminat yang ingat pada lagu-lagu saya.

"Saya ingat lagi, pernah berjaya ke peringkat akhir Muzik-Muzik pada 1988 dengan lagu Ilusi Satu Penantian. Itu adalah pencapaian yang terbaik saya," katanya turut dikenali dengan lagu Di Saat Engkau Di Sampingku.

Single Kebahagiaanmu yang siap dirakamkan Ben pada tahun lalu adalah penerima dana sebanyak RM20,000 daripada Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (Cendana) bagi tujuan berkenaan.

Ben yang sudah enam tahun 'keluar' daripada kehidupan sebagai gelandangan sejak 2017, kini menetap di sebuah rumah penjagaan di Petaling Jaya, Selangor selain turut dijaga oleh adik bongsunya, Bob Nathan, 49.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 7:12 AM