SEBUAH kenderaan mewah turut ditahan untuk pemeriksaan.
SEBUAH kenderaan mewah turut ditahan untuk pemeriksaan.
Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Terlupa tamat tempoh, tidak perasan dan pinjam motosikal bapa atau kawan.

Itu antara ‘alasan ekspres’ diberikan penunggang motosikal yang dikesan gagal memperbaharui lesen kenderaan memandu (LKM) serta cukai jalan ketika ditahan dalam Op Bersepadu Ambang Merdeka di sekitar ibu negara awal pagi semalam.

Pelbagai alasan direka untuk menyelamatkan diri walaupun terdapat sebahagian daripada mereka menunggang motosikal tamat cukai jalan sejak lapan tahun lalu.

Hasil pemeriksaan dalam sekatan jalan raya di Jalan Loke Yew, Jalan Kuching, Jalan Syed Putra, Jalan Genting Klang, Jalan Bangsar dan Jalan Raja Laut di sini, mendapati kesalahan membabitkan LKM serta cukai jalan merekodkan jumlah saman paling tinggi.

Operasi selama empat jam yang bermula jam 10.30 malam itu menyaksikan sebanyak 1,083 saman dikeluarkan polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

ANGGOTA polis trafik memeriksa badan penunggang motosikal.
ANGGOTA polis trafik memeriksa badan penunggang motosikal.

Timbalan Ketua JSPT, Superintendan Sarifudin Mohd Saleh berkata, sebanyak 1,938 kenderaan diperiksa di enam lokasi iaitu di Jalan Loke Yew, Jalan Kuching, Jalan Genting Klang, Jalan Bangsar, Jalan Syed Putra dan Jalan Raja Laut di sini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 28 motosikal dan lapan kereta disita dan dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur kerana pelbagai kesalahan. Jumlah keseluruhan saman dikeluarkan sebanyak 1,083 saman.

“Saman membabitkan LKM paling tinggi iaitu 422 saman, kemudian kesalahan cukai jalan 222 saman, diikuti kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi sebanyak 108 saman,” katanya ketika sidang media sejurus operasi tamat, jam 2 pagi semalam.

Beliau berkata, kebanyakan pengguna atau penunggang motosikal yang diambil tindakan kerana LKM tamat, tiada LKM dan cukai jalan tamat tempoh terdiri daripada golongan yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 25 tahun.

“Golongan ini sering dikesan melakukan tiga kesalahan berkenaan. Mereka berani menunggang motosikal tanpa lesen di sekitar ibu kota dan ini menunjukkan sikap ambil mudah mereka mengenai keperluan LKM.

“Ibu bapa sebaiknya memainkan peranan sama ada meminta anak mereka mengambil lesen atau memantau penggunaan motosikal oleh golongan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 4:15 AM