EDEN Hazard. FOTO Reuters
EDEN Hazard. FOTO Reuters
Agensi

London: Eden Hazard berjanji fokusnya hanya kepada Belgium untuk impian mara ke final Piala Dunia sebelum memikirkan mengenai masa depannya di kelab.

Hazard masih memiliki baki dua tahun kontrak bersama Chelsea dan kegagalan menandatangani kontrak baru mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan dia akan berhijrah dari Stamford Bridge.

Real Madrid sudah lama menunjukkan minat dan pemain berusia 27 tahun yang ditandatangani dari Lille pada 2012 itu dan dia juga kerap dikaitkan akan kembali ke Perancis bersama Paris Saint-Germain.

Manchester City juga menyatakan minat jika pemain itu bersedia berpindah, tetapi kapten Belgium itu jelas ada misi lebih utama.

Hazard berkata: “Saya akan menamatkan saingan Liga Perdana terlebih dulu dan kemudian bermain pada Piala Dunia dan kemudian saya akan bercuti. Selepas itu kita akan lihat apa berlaku. Saya masih belum memikirkannya.

“Saya masih ada kontrak dua tahun bersama Chelsea, tempat di mana saya sangat gembira.”

Juara Liga Perdana itu akan menyerahkan gelaran kepada Manchester City, tetapi bakal bersaing dalam separuh akhir Piala FA dan terus beraksi dalam kelompok empat pasukan teratas bagi layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Hazard menepis idea dia tidak gembira bermain selaku penyerang tengah dalam skuad kendalian Antonio Conte apabila ditanya ketika tugasan antarabangsa, sambil berkata dia boleh bermain di mana saja.

Namun, Conte dijangka akan meninggalkan Chelsea musim panas ini dan Hazard perlu tahu identiti penggantinya sebelum membuat sebarang keputusan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 3:57 AM