London: Antonio Conte mencabar Eden Hazard supaya mengekalkan prestasi cemerlang selepas perancang utama Chelsea itu mencetus inspirasi kemenangan besar 5-0 ke atas Everton, awal pagi semalam.

Selepas kempen buruk musim lalu, Hazard kembali bertenaga di bawah kepimpinan bos Blues, Conte dan pemain Belgium itu melengkapkan kebangkitannya akhir-akhir ini dengan dua gol di Stamford Bridge.

Conte gembira melihat Hazard mempamerkan kemahiran yang menyaksikannya dipilih sebagai pemain terbaik tahunan ketika kempen kejuaraan Chelsea pada 2014-15, namun pengendali Itali itu mahu ia berterusan hingga ke hujung musim.

“Eden Hazard bermain dengan amat bagus. Kami tahu dia seorang pemain berbakat,” kata Conte selepas pasukannya merampas kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris daripada Manchester City.

“Saya lihat dia bekerja keras untuk pasukan dan rakan sepasukannya amat gembira. Dia perlu teruskan, dia mempamerkan bakatnya dalam setiap perlawanan.”

Hazard kini mengumpul tujuh gol buat Chelsea musim ini dan menjaringkan gol dalam empat aksi terakhir Liga Perdana selepas hanya menyumbat enam gol sepanjang musim lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu dilaporkan hampa dengan Jose Mourinho sebelum beliau dipecat sebagai pengurus Chelsea, Disember lalu.

“Ia kemenangan menakjubkan. Kami menyumbat lima gol cantik dan mungkin boleh menambah banyak lagi,” kata Hazard.

“Saya seronok bermain bola, kami bermain dengan bagus, kami mencipta banyak peluang dan menyumbat banyak gol.”

Tiga lagi gol Blues disumbang Diego Costa, Marcos Alonso dan Pedro Roeriguez. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 10:53 AM