HAZARD (tengah) belum pasti disenaraikan menentang Atletico Madrid. FOTO  AFP
HAZARD (tengah) belum pasti disenaraikan menentang Atletico Madrid. FOTO AFP
Reuters

London: Pengurus Chelsea Antonio Conte tidak mahu bertindak terburu-buru apabila mengambil langkah berjaga-jaga untuk memilih Eden Hazard dalam persediaan menghadapi aksi Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid awal pagi Khamis.

Selepas membuat penampilan pertamanya musim ini dalam aksi Piala Liga minggu lalu, pemain Belgium itu sekali lagi disenaraikan sebagai pemain simpanan ketika Chelsea menang 4-0 ke atas Stoke City dalam aksi Liga Perdana Inggeris apabila masih dalam proses pemulihan retak buku lali.

“Saya fikir Eden semakin meningkat dan sudah pasti dia bakal disenaraikan untuk menentang Atletico Madrid,” kata Conte.

“Selepas kecederaan teruk dan pembedahan, anda perlukan masa. Dia hampir sedia untuk bermain, tetapi jika saya mengambil keputusan biarlah kerana saya selesa dengannya,” kata jurulatih kelahiran Itali itu.

“Saya fikir kami menguruskan keadaannya dengan baik. Pemain lain juga penting bagi kami dan adalah penting untuk memastikan dia sudah bersedia.”

Conte memuji pemain baru Alvaro Morata kerana berjaya menyesuaikan diri dengan kehendak Liga Perdana Inggeris selepas pemain Sepanyol itu meledak hatrik pertamanya di Chelsea ke atas Stoke.

Morata datang dari Real Madrid pada awal musim dalam misi memburu kesebelasan utama dan menjaringkan enam gol dalam enam penampilan.

“Jangan lupakan penampilannya sebelum ini - dia tidak banyak bermain di Juventus dan Real Madrid tetapi kini dia berpeluang membuktikan dia penyerang yang hebat dan luar biasa,” kata Conte.

“Dia masih muda, baru 24 tahun dan saya fikir ini amat penting bagi Chelsea. Saya fikir dia kini terbabit sepenuhnya dalam corak permainan dan idea kami. Dia amat kuat dan membuktikan dirinya seorang penyerang bagus dan sempurna.”

Chelsea berkunjung ke Atletico selepas menang besar 6-0 ke atas Qarabag dalam aksi pembukaan Kumpulan C Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 4:00 AM