CONTE (tengah) anggap Chelsea sukar cabar kejuaraan  EPL. FOTO/AFP
CONTE (tengah) anggap Chelsea sukar cabar kejuaraan EPL. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pengurus Chelsea, Antonio Conte mengakui peluang untuk mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) mungkin sukar meskipun berjaya menumpaskan Newcastle United 3-1 dengan tumpuan kini beralih menghadapi Atletico Madrid dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah, Selasa ini.

Dalam aksi itu, skuad The Blues bangkit dari ketinggalan untuk memungut tiga mata maksimum dengan Eden Hazard menyumbat dua gol dan satu dari penyerang Sepanyol, Alvaro Morata.

Berdasarkan kedudukan carta liga, Chelsea kini berada di tangga ketiga dengan 32 mata yang menyaksikan mereka ketinggalan lapan mata di belakang pencabar kejuaraan musim ini, Manchester City.

PEMAIN Newcastle, Dwight Gayle cedera ketika perlawanan menentang Chelsea. FOTO/REUTERS
PEMAIN Newcastle, Dwight Gayle cedera ketika perlawanan menentang Chelsea. FOTO/REUTERS

“Saya gembira (kemenangan ke atas Newcastle United) tetapi dalam masa yang sama terdapat satu pasukan iaitu Manchester City juga menunjukkan persembahan luar biasa,” kata Conte. “Jika tidak, saya fikir kami akan berada di sana bersama pasukan lain.”

Chelsea yang akan turun dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan C Liga Juara-Juara Eropah di Stamford Bridge bakal muncul selaku juara kumpulan seandainya berjaya menumbangkan Atletico dengan Hazard dijangka akan mengetuai jentera serangan tuan rumah.

“Hazard benar-benar menikmati sistem permainan pasukan ketika ini. Dia adalah pemain penting untuk kami dan pasukan tiada masalah untuk mengubah posisinya.

“Dia boleh bermain sebagai penyerang kedua atau boleh bermain sebagai pemain nombor 10 ketika bermain 3-4-3 dan saya yakin dengan kemampuannya untuk membantu pasukan meraih kemenangan,” ujarnya.

PENJAGA gol Newcastle, Karl Darlow (kiri) menghalang rembatan Hazard (tengah).  FOTO/AFP
PENJAGA gol Newcastle, Karl Darlow (kiri) menghalang rembatan Hazard (tengah). FOTO/AFP

Jelasnya lagi, beliau tidak sabar untuk menyaksikan kelibat Hazard bersama Belgium di Piala Dunia tahun depan terutamanya apabila menentang England dalam saingan Kumpulan G itu.

“Sudah tentunya Gary Cahill dan Danny Drinkwater (pertahanan Chelsea) yang akan bermain untuk England sudah mengetahui kekuatan dan kelebihan yang ada pada Hazard.

“Mereka berlatih setiap hari di sini (Chelsea), jadi tentunya aksi antara Belgium dan England amat menarik perhatian saya dan tidak sabar untuk melihat perlawanan itu,” katanya.

PEMAIN Chelsea, Alvaro Morata (kanan) dikawal pemain  Newcastle. FOTO/AFP
PEMAIN Chelsea, Alvaro Morata (kanan) dikawal pemain Newcastle. FOTO/AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 10:16 AM