Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi di sini memerintahkan ahli perniagaan dan anaknya membayar ganti rugi sebanyak RM400,000 terhadap pelakon Maria Farida kerana didakwa memfitnah wanita itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Maria Farida berjaya membuktikan bahawa defendan iaitu Hadijah Mohamed Mokhtar dan Nur Shazaleen Anid Mohd Yusoff memfitnahnya.

Mahkamah memerintahkan Hadijah membayar ganti rugi sebanyak RM300,000, manakala anaknya Nur Shazaleen diperintahkan membayar RM100,000.

Mahkamah juga dalam keputusannya memerintahkan kedua-dua defendan membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Maria.

Peguam Tengku Haris Tengku Rostam hadir bagi mewakili Maria Farida atau nama sebenarnya Maria Faridah Atienza, 48.

Pada 30 Disember 2016, Maria Farida memfailkan saman dengan menamakan Hadijah atau dikenali sebagai Karen Rahman dan Nur Shazaleen Anis Mohd Yusoff, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Hadijah bekas isteri kepada suami Maria Farida sekarang Datuk Rahman Shakur, manakala Nur Shazaleen anak tirinya.

Maria memohon perintah injunksi melarang kedua-dua defendan atau melalui ejen membuat, mengeluarkan, menerbit, menyiar segala pernyataan fitnah terhadapnya serta permohonan maaf.

Selain itu, dia memohon perintah menghalang kedua-dua wanita itu daripada berhubung dengannya menerusi mesej, panggilan telefon dan media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 11:51 AM