JAMAL. FOTO Saifullizan Tamadi
JAMAL. FOTO Saifullizan Tamadi
Ahmad Johari Mohd Ali


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, memerintahkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos membayar ganti rugi RM300,000 kepada Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah.

Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat perintah itu selepas mendapati Jamal bertanggungjawab memfitnah dengan mengaitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dengan kumpulan pengganas Daish.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata, mahkamah mendapati pengucapan oleh Jamal merujuk kepada Maria (plaintif), walaupun secara jelas ia tidak menyebut nama plaintif.

Katanya, mahkamah selanjutnya mendapati pengucapan berkenaan dalam makna semula jadi adalah bersifat memfitnah .

“Saya mendapati pengucapan berunsur fitnah itu disiarkan,” katanya.

Mohd Zaki turut memerintahkan Jamal yang diwakili peguam V Mugunathan dan Mohamed Nasir Yusof, membayar kos RM40,000.

Maria diwakili peguam N Surendran dan Latheefa Koya.

Dalam writ saman dan penyataan tuntutan difailkan pada 7 Oktober 2016, Maria berkata Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Melayu dan Gerakan Merah Malaysia mengeluarkan kenyataan fitnah itu pada satu sidang media di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 28 September tahun sama.

Jamal yang dinamakan selaku defendan juga didakwa mengeluarkan perkataan fitnah kedua pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada 4 Oktober 2016.

Kata plaintif, perkataan fitnah itu kemudian disiarkan dalam media cetak dan elektronik serta di portal berita seluruh negara.

Katanya, ia membawa maksud beliau seorang yang ganas dan tidak mematuhi undang-undang serta beliau seorang ejen Daish.

Maria berkata, ia juga membawa maksud bahawa beliau bersubahat dengan kumpulan pengganas dan terbabit dengan keganasan.

Sehubungan itu, Maria Chin menuntut daripada Jamal, ganti rugi am dan teruk serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan perkataan fitnah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 6:50 PM