ANWAR Ibrahim. FOTO arkib NSTP
ANWAR Ibrahim. FOTO arkib NSTP
Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Utusan Melayu berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Noraini Abdul Rahman merekodkan penghakiman persetujuan selepas kenyataan kesal dibacakan oleh peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Utusan Melayu (defendan pertama) dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak (defendan kedua).

Dalam kenyataan itu, defendan pertama dan kedua mengakui bahawa artikel yang memetik Inquirer News dan Manila Times adalah tidak berasas oleh itu pihaknya melahirkan rasa kesal dan menarik balik laporan itu.

Mahkamah turut merekodkan persetujuan bayaran sebanyak RM50,000 oleh kedua-dua defendan kepada plaintif.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa Utusan Malaysia bertarikh 2 Mac 2013 menyiarkan artikel di muka hadapannya bertajuk 'Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?' dan artikel di muka surat sembilan bertajuk 'Tiga kumpulan jadi dalang'.

Oleh itu, Anwar menuntut ganti rugi am RM100 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan selain memohon perintah injunksi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 1:02 PM