Helmy Abd Rahman


TIDAK puas hati kerana dikecam di Facebook, seorang wanita berusia 26 tahun berpakat dengan enam rakannya menculik remaja perempuan berusia 19 tahun di Jalan Kamarudin, Kuala Terengganu, sebelum mangsa ditinggalkan bersendirian di tepi jalan di Marang, lebih 20 kilometer dari tempat kejadian, tengah malam semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, mangsa bersama tiga rakannya menaiki Perodua Axia sebelum kenderaan itu dipintas dan dihadang kenderaan pelbagai guna (MPV) Grand Livina.

Dua wanita kemudian keluar dari kenderaan itu sebelum menarik mangsa keluar sehingga mangsa terjatuh di atas jalan.

Mangsa kemudian dibawa masuk ke dalam MPV terbabit sebelum seorang daripada suspek bertindak menutup muka dan mengikat tangan serta kakinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman berkata, mangsa turut dipukul ketika dalam kenderaan itu sebelum ditinggalkan di Kampung Teratak Batu, Marang.

TUJUH individu dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu untuk permohonan tahanan reman atas kesalahan menculik seorang remaja perempuan berusia 19 tahun. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
TUJUH individu dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu untuk permohonan tahanan reman atas kesalahan menculik seorang remaja perempuan berusia 19 tahun. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

"Mangsa kemudian diselamatkan orang awam. Susulan laporan polis dibuat mangsa, polis berjaya mengesan dan menahan dua suspek wanita yang kedua-duanya berusia 26 tahun di daerah ini, petang semalam.

"Hasil siasatan mendapati motif kejadian disebabkan suspek utama yang dikenali dengan nama 'Ailin' bengang kerana dikecam mangsa di Facebook yang membawa kepada kejadian ini dan menerusi soal siasat juga membolehkan kita mengesan lima lagi rakan subahat suspek," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, hari ini.

Sementara itu, di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini, tujuh individu terdiri dua lelaki dan lima wanita berusia antar 18 hingga 26 tahun direman selama empat hari mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu Wan Aziantie Wan Ab Kari @ Isa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 2:39 PM