Junaidi Ladjana


Lahad Datu: Kampung Tanduo yang terletak di hujung gugusan FELDA Sahabat, kira-kira 120 kilometer dari bandar Lahad Datu, dulunya sebuah perkampungan kecil tepi laut dihuni 20 keluarga. Kebanyakannya mencari rezeki sebagai nelayan dan berkebun.

Bagaimanapun, selepas insiden pencerobohan pengganas Sulu dan serangan udara serta darat oleh pasukan keselamatan terhadap pengikut Jamalul Kiram III yang mahu menuntut Sabah pada Mac 2013, keadaan perkampungan itu berubah sama sekali.

Kini, Kampung Tanduo dijadikan kem tentera dikenali Pos Kampung Tanduo di bawah seliaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Baru-baru ini, penulis bersama jurugambar, Khairull Azry Bidin berpeluang ke Kampung Tanduo untuk meninjau keadaan kem berkenaan.

Diiringi tiga pegawai polis diketuai Penolong Ketua Staf Operasi Pasukan Khas ESSCOM, Superintendan Hamzah Hashim dari Tanjung Labian, kami menaiki pacuan empat roda mengharungi laluan berbatu kasar dan berhabuk yang mengambil masa lebih setengah jam dengan jarak hampir tiga kilometer.

   Kampung Tanduo dijadikan pos kawalan tentera ketika tinjauan selepas lima tahun pencerobohan pengganas Sulu.
Kampung Tanduo dijadikan pos kawalan tentera ketika tinjauan selepas lima tahun pencerobohan pengganas Sulu.

Ketika menyusuri masuk, kami melihat pos kawalan tentera dengan sederet rumah didiami pasukan keselamatan, selain kelihatan dua rumah yang dulunya milik penduduk Kampung Tanduo.

Namun kini, ia dibaik pulih dan dijadikan surau serta tempat penyimpanan barang. Selain itu, beberapa pokok seperti mangga, nangka dan sawit masih kekal di kawasan kampung berkenaan.

Berhampiran surau, terdapat galeri kecil menyimpan pelbagai barang rampasan daripada pengganas Sulu dan kami juga berpeluang mendekati tiga kubur apabila pengganas mengebumikan 16 anggotanya yang mati ketika bertempur dengan pasukan keselamatan.

Kubur pertama menempatkan sembilan mayat pengganas, kubur kedua pula menempatkan tiga lagi mayat dan kubur ketiga menempatkan empat mayat.

Lebih kurang 200 meter dari perkuburan itu, penulis melihat bendera merah dan diberitahu itu lokasi dua anggota komando VAT69, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud terkorban ketika pertempuran dengan musuh jam 10 pagi, 1 Mac 2013.

Tidak jauh dari lokasi itu, kami melihat kesan letupan bom oleh pesawat tempur jenis F18 dan Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilancarkan ketika serangan Op Daulat ke atas Kampung Tanduo pada 13 Mac 2013.

 RUMAH penduduk dijadikan  surau.
RUMAH penduduk dijadikan surau.

Di lokasi perkuburan itu juga, penulis diberitahu 500 meter dari situ terletak rumah Ahmad Malandi, 70-an, atau Mat Bom iaitu individu dipercayai tali barut kepada pengganas bersama anaknya dikenali sebagai Mohd Dali atau Ali.

Mat Bom dikenali pakar mengebom ikan di sekitar perairan FELDA Sahabat dan dia juga dikatakan antara individu terawal membuka Kampung Tanduo. Keadaan rumahnya dikatakan hanya tinggal tiang selepas dibom pesawat tempur jenis F18 dan Hawk milik TUDM ketika serangan Op Daulat.

Penulis dibawa menyusuri laluan berbecak 800 meter dari Pos Kampung Tanduo sebelum kelihatan surau di pesisir pantai. Ia menjadi lokasi pertama kumpulan pengganas berkumpul selepas mendarat menggunakan bot pancung dan bot laju secara berperingkat di Kampung Tanduo.

Berdekatan surau itu, terdapat bot dengan pendayung dipercayai milik pengganas. Lokasi bot itu ditemui di kawasan muara sungai Kampung Tanduo sebelum dipindahkan ke Pos Kawalan Tentera di pantai Kampung Tanduo.

Ketika berada di tepi pantai Kampung Tanduo, apa yang terlintas di fikiran penulis ialah keindahan pantai di kampung terletak di hujung gugusan FELDA Sahabat itu, namun kerana kerakusan kumpulan pengganas yang menceroboh masuk ke kampung berkenaan lima tahun lalu, segalanya kini sepi, tiada lagi penempatan penduduk.

 Tapak   kubur penceroboh di Kampung Tanduo.
Tapak kubur penceroboh di Kampung Tanduo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 9:10 AM